Dayak di Sibu dinasihat berwaspada terhadap COVID-19

SIBU, 11 JAN – Masyarakat Dayak di Sibu dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap wabak COVID-19.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) cawangan Sibu Chambai Lindong berkata peningkatan mendadak jumlah kes positif daripada Kuster Pasai membuktikan bahawa ramai orang bersikap sambil lewa terhadap wabak berkenaan kerana, Sibu selama ini berada dalam Zon Hijau.

“Ramai beranggapan COVID-19 hanya berlaku di Semenanjung Malaysia dan Sabah dan berasa mereka cukup selamat, tetapi hakikatnya virus ini ada di mana-mana di persekitaran kita,” katanya sambil menzahirkan kesedihan mengenai 19 rumah panjang di Pasai Siong telah dikenakan sekatan pergerakan akibat penularan COVID-19.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata tindakan kuarantin di rumah panjang dan rumah individu bukanlah idea yang baik dan ia perlu dihentikan dengan serta-merta.

“Kuarantin seharusnya anda harus mengurungkan diri di dalam bilik, namun ramai orang didapati tidak mempunyai disiplin dan cenderung untuk berkeliaran dan bersembang dengan orang lain. Maka, kuarantin di rumah mesti dihentikan,” tegasnya.

Chambai berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga tidak memberi manfaat terhadap ekonomi dan ramai yang sengsara akibat pelaksanaannya. – Bernama

Sebanyak 80 unit khemah khas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) siap dipasang di Stadium Tertutup Sibu pada 10 Januari oleh anggota-anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dijadikan pusat kuarantin COVID-19 tambahan di Daerah Sibu. – Bernama