Dayang anggap isu ‘terkucil’ lumrah penyanyi

Bersikap realistik, Dayang Nurfaizah menyifatkan isu penyanyi ‘terkucil’ ketika mendendangkan lagu secara langsung adalah lumrah biarpun insiden itu dielak.

Menganggap bukan semua penyanyi mampu melontarkan vokal sempurna pada setiap masa, Dayang menganggap, sebagai manusia biasa, tiada siapa dapat lari daripada melakukan kesilapan.

“Macam saya, ada hari, saya rasa tak seronok untuk menyanyi. Tipulah kalau saya cakap, tidak pernah ‘terkucil’.

“Ada hari saya tidak sihat tapi kita masih mahu cuba memberikan yang terbaik. Namun, nasib tidak menyebelahi kita,” katanya kepada media.

Dayang mengulas nasib menimpa artis junior, Nabila Razali yang ‘terkucil’ ketika mendendangkan single Peluang Kedua ciptaan Hael Husaini pada program Meletop Mega Raya Ria sempena 1 Syawal, minggu lalu.

Dayang menganggap bukan semua penyanyi mampu melontarkan vokal sempurna pada setiap masa kerana sebagai manusia biasa, tiada siapa dapat lari daripada melakukan kesilapan. – Agensi

Sebaik rakaman video menjadi tular, aksi Nabila yang membahasakan diri sebagai Bella, terus dihentam warganet. Dayang berkata, kadang-kala situasi dihadapi penyanyi ketika ‘terkucil’ sewaktu membuat persembahan perlu diperhalusi.

“Kita tidak boleh terus menilai seseorang itu boleh atau tidak boleh menyanyi daripada satu kesilapan. Kita kena faham situasi yang dilalui.

“Kita kena bagi dia peluang, jangan hanya sebab satu kesilapan, terus kritik. Cuba fikir dari sudut positif. Dengan kesilapan inilah dia dapat belajar dan perbaiki diri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai single terbaharu, Di Pagi Raya Ini yang digubah khas untuk petugas barisan hadapan, Dayang berharap bingkisan itu dapat menjadi hadiah istimewa buat mereka.

“Lagu dan liriknya digubah khas untuk mereka yang bertungkus-lumus mengharungi detik getir memerangi wabak COVID-19 yang melanda negara.

“Pengorbanan petugas barisan hadapan sangat besar. Lantas apabila ditawarkan Primeworks Studios menyanyikan lagu ini, saya tidak menolak.

“Sedikit sebanyak saya boleh menyumbang sesuatu agar petugas barisan hadapan dapat tersenyum mendengar lagu ini,” katanya. – Agensi