Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Dayang Naemah, Siti Ara juara pertandingan membaca Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Dayang Naemah binti Garip dan Dayang Siti Ara binti Ibrahim dari Masjid Kampung Rataie Temburong muncul juara dalam Pertandingan Membaca Al-Quran Berserta Tadabbur bagi Muslimah Masjid Seluruh Negara Peringkat Daerah Temburong Tahun 1443H/2022M.

    Pertandingan anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama ahli jawatankuasa takmir masjid itu telah berlangsung di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie, Daerah Temburong hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.

    Empat kumpulan dengan dua ahli setiap kumpulan menyertai pertandingan berkenaan, iaitu dari Masjid RPN Kampung Rataie, Masjid Pengiran Haji Abu Bakar, Bokok, Masjid Kampung Bukit Sibut dan Masjid Utama Mohd Salleh.

    Antara tujuan pertandingan berkenaan adalah untuk memberi pendedahan kepada para Muslimah agar berani tampil di khalayak ramai dalam menyampaikan bacaan Al-Quran dan mentadabbur bacaan tersebut sekali gus memberi peluang kepada mereka mempamerkan bakat dan kebolehan dalam menyampaikan tilawah Al-Quran dan tadabburnya. 

    Di samping itu, pertandingan juga mendidik para Muslimah untuk meneliti kandungan yang terdapat dalam Al-Quran serta mengambil pengajaran daripadanya selain dihasratkan menyuntik semangat dalam jiwa Muslimah untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat, nasihat dan teguran secara berhemah demi kebaikan dan manfaat kepada keluarga, teman dan masyarakat umumnya melalui kandungan ayat-ayat suci Al-Quran.

    Pertandingan seumpamanya akan dilaratkan lagi ke daerah-daerah yang lain bagi memilih peserta ke peringkat akhir mengikut jadual yang telah ditetapkan.

    Dayang Noraini Yanti menyampaikan hadiah kepada pemenang semasa majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...