Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dayang Nurfaizah tonjol persembahan bertenaga

    HEBAT dan persembahan kelas tersendiri. Ini gambaran paling tepat buat Dayang Nurfaizah menerusi konsert Dayang Nurfaizah Esplanade yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.

    Sepanjang dua jam persembahan, penonton bukan saja terpukau dengan alunan gemersik suara emas penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini, tetapi turut terhibur dengan gurau senda bersahaja Dayang di atas pentas.

    Pengalaman lebih 20 tahun menjadi penyanyi digunakan sebaik-baiknya oleh Dayang untuk menghiburkan 1,600 penonton yang datang dari merata tempat.

    Lebih membanggakan, konsert sulung Dayang di negara itu ‘full house’ selepas semua tiket habis dijual beberapa bulan sebelum konsert berlangsung.

    Segah namanya di Malaysia, begitu juga hebatnya Dayang di Singapura. Sebanyak 25 lagu yang dinyanyikan, tidak ada satu pun kedengaran sumbang. Dalam erti kata lain, nyanyian Dayang cukup sempurna.

    Dayang Nurfaizah berjaya memukau penonton melalui konsert yang dipersembahkannya di
    Singapura selama dua jam.

    Walaupun berkali-kali dia menyatakan rasa gementar, Dayang bagaimanapun sudah memberikan sebuah persembahan yang luar biasa.

    Dayang yang juga pemenang Vokal Terbaik tiga kali berturut-turut pada Anugerah Juara Lagu (AJL) menzahirkan rasa syukur dan puas kerana dapat menyampaikan semua lagu dengan baik.

    “Dari awal sampai habis persembahan kebanyakannya lagu balada. Jadi, setiap lagu perlukan fokus dan penghayatan untuk disampaikan. Apabila penonton memberikan sorakan dan memberi maklum balas positif, saya lega serta puas hati.

    “Memandangkan ini konsert sulung saya di Singapura, boleh dikatakan 90 peratus lagu yang dinyanyikan hasil pilihan peminat. Cuma, lagu ‘cover version’ saja saya pilih sendiri. Pastinya juga lagu ini antara yang mencabar untuk dinyanyikan.

    “Begitu juga dengan rangkaian lagu Inggeris, ia adalah pilihan anak saudara saya, Yaya. Konsert yang berlangsung ini memberikan 1,001 kenangan manis untuk saya dan berharap ia meninggalkan detik indah buat semua peminat yang hadir,” katanya.

    Menurut Dayang, perkara utama yang menjadi keutamaannya menjayakan konsert itu adalah pemilihan lagu.

    Baginya, dia tidak mahu syok sendiri menyanyikan lagu yang jarang didengar atau kurang digemari penonton. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda