KOTA KINABALU, 1 Feb – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menugaskan anggota penguatkuasa di dua jeti di Tanjung Aru dekat sini, bagi memantau kedua-dua jeti berkenaan supaya tidak digunakan untuk pelepasan bot bagi tujuan pelancongan, berkuat kuasa hari ini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai berkata langkah itu bertujuan mengawal dan memastikan bot pelancong tidak menggunakan jeti tersebut memandangkan ia dibina bagi kegunaan nelayan dan bukannya untuk pelancongan.
“Kami meletakkan anggota penguatkuasa bagi memantau kawasan berkenaan (Jeti Tanjung Aru) untuk mengelak bot pelancong masuk ke situ dan memastikan pelancong tidak datang ke tempat tersebut,” katanya kepada pemberita ketika meninjau dua jeti di Tanjung Aru hari ini.
Justeru, Yeo menyarankan semua operator pelancongan menggunakan tiga jeti ditetapkan pihak berkuasa bagi tujuan pelepasan bot pelancong ke pulau-pulau peranginan di pantai barat Sabah iaitu di Jeti Sutera, Jesselton Point dan Shangrila Tanjung Aru Resort (STAR).
“Jika operator pelancongan menggunakan jeti yang dibenarkan, pihak berkaitan boleh membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa. Namun, jika mereka menggunakan jeti tidak dibenarkan bagi bot pelancong, tiada siapa yang boleh memantau. Maka, kita tidak tahu sama ada bot itu selamat digunakan atau tidak,” katanya.
Mengulas lanjut, Yeo berkata sebuah daripada jeti di Tanjung Aru itu dibina tanpa mendapat kelulusan DBKK, namun pihaknya tidak merobohkan jeti berkenaan berikutan ia adalah untuk kegunaan penduduk kampung dan nelayan sahaja.
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat pihak membuat penambahan struktur di kawasan jeti tersebut bagi pengoperasian jeti untuk pelancongan.
“DBKK pernah memberi notis untuk merobohkan binaan atap di jeti tersebut sekaligus menghentikan pengoperasian jeti untuk pelancongan. Namun, ada yang memasang semula (atap),” katanya.
Sehubungan itu, Yeo berkata pihaknya akan membuat satu laporan kepada kerajaan negeri bagi mengesyorkan tindakan selanjutnya yang perlu diambil.
Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lalu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu. – Bernama