Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    DBKL rancang bina ‘tembok’ atasi banjir kilat

    KUALA LUMPUR, 18 SEPT – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam proses mendapatkan reka bentuk yang sesuai bagi membina flood wall atau tembok tebatan banjir di lokasi hotspot banjir kilat yang telah dikenal pasti di ibu negara.

    Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata pembinaan tembok itu bertujuan menggantikan penggunaan guni-guni pasir yang bertindak sebagai langkah sementara bagi menangani masalah banjir kilat di ibu kota.

    Flood wall itu perlu direka dengan betul dan teliti supaya dapat menghalang limpahan arus deras ketika hujan lebat sekali gus berfungsi untuk menyekat air (banjir) daripada keluar ke kawasan yang rendah.

    “Namun, kita sudah pun melantik kontraktor yang berwibawa untuk membinanya selepas rekaan itu siap tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi Kuala Lumpur Sport, Event and Facilities (KLSPEF) di Dataran DBKL, hari ini.

    Pada masa sama, Mahadi berkata pihaknya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi terlibat dengan pengurusan mitigasi banjir akan mengadakan perbincangan lanjut sebagai persediaan menghadapi musim hujan.

    “Kita akan bermesyuarat minggu ini bagi membincangkan lebih terperinci langkah-langkah lain yang sesuai untuk diambil berdasarkan data-data terkini daripada JPS sebagai usaha menangani jumlah taburan hujan yang tinggi pada akhir tahun,” katanya.

    Sementara itu, Mahadi dalam ucapannya berkata aplikasi KLSPEF membolehkan warga kota membuat semua urusan tempahan dan pembayaran bagi 63 dewan serba guna dan kompleks sukan di bawah seliaan DBKL secara dalam talian pada masa yang singkat.

    Beliau berkata DBKL peka terhadap keperluan warga kota dan sentiasa berusaha menyediakan kelengkapan infrastruktur dan kemudahan awam yang mencukupi buat mereka.

    “Sekiranya sebelum ini, tempahan bagi kemudahan dewan serba guna dan kompleks sukan di ibu kota dibuat secara manual atau melalui laman web, kini warga kota perlu membuat tempahan hanya di hujung jari menerusi aplikasi KLSPEF. – Bernama

    Datuk Seri Mahadi Che Ngah semasa sidang media selepas melancarkan aplikasi Kuala Lumpur Sport, Event and Facilities (KLSPEF) kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...