DBP anjur peraduan menulis novel

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Sempena Sambutan Bulan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan peraduan menulis novel yang akan ditutup penyertaannya pada hujung Ogos ini.

Sehubungan dengan itu, para penggemar dan penulis novel diseru untuk merebut peluang tersebut dengan melengkapkan borang penyertaan dan menghantar manuskrip kepada setiausaha peraduan tidak lewat 31 Ogos, jam 4 petang.

Menurut kenyataan, novel-novel yang diterbitkan nanti akan dipasarkan bagi sasaran jangka pendek, manakala, untuk sasaran jangka panjang pula, novel tersebut akan dijadikan sebagai bahan kajian (kritikan dan bandingan) serta kajian sastera lintas budaya dan dimuatkan dalam jurnal sastera (Pangsura) iaitu sebuah jurnal pengkajian dan penelitian sastera Asia Tenggara.

Di samping itu, ia juga akan dilestarikan ke peringkat antarabangsa untuk diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa asing.

Antara lain tujuan peraduan itu ialah untuk menghasilkan novel yang mampu diangkat menjadi buku teks sastera di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi seterusnya mengangkat martabat Bahasa Melayu khususnya dan sastera Melayu amnya melalui penulisan kreatif.

Selain itu, peraduan itu juga untuk mengembangkan dan memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu tanah air melalui penulisan karya kreatif.