Oleh Daniel Lim
BELAIT, 11 SEPT – Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memberigakan lagi budaya dan sejarah mukun di negara ini, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan telah menganjurkan beberapa aktiviti yang bermula dengan Bengkel Mukun pagi tadi.
Bengkel bertujuan untuk memperkenalkan budaya mukun kepada penduduk kampung sekitar serta sejarah dan usaha yang dilakukan oleh Kelab Budaya Mukun Selendang Sutera dalam mempertahankan warisan berkenaan untuk generasi belia seterusnya.
Perkara berkenaan antara yang diketengahkan oleh pengurus kelab berkenaan, Awang Norfaizal bin Ismail yang menambah bahawa usaha-usaha mereka menjangkaui seluruh negara dan luar negara, yang mana mereka juga telah mengadakan bengkel serupa di Daerah Brunei dan Muara dan merancang untuk terus mengadakannya.
Beliau juga menekankan kepentingan mempelajari mengenai mukun, terutamanya dalam kalangan belia, termasuk sejarahnya, bagaimana ia memasuki Brunei dari negara-negara jiran dan bagaimana generasi-generasi pemukun terus membentuk cara ia dipersembahkan hingga ke hari ini
Bengkel kemudian diteruskan dengan presiden kelab berkenaan, Awang Irwan Rino bin Nordin menyampaikan taklimat mengenai sejarah mukun dan berkongsi pelbagai pencapaian yang diraih kumpulan berkenaan.
Dianjurkan oleh perpustakaan berkenaan dengan kerjasama Kelab Budaya Mukun Selendang Sutera, bengkel tersebut diadakan bersempena Karnival Memperkasa Budaya Membaca 2022 yang berlangsung selama empat hari hingga 14 September depan, dengan aktiviti-aktiviti turut merangkumi Sukan Ria Mini dan Majlis Khatam Al-Quran.