DBP semarak sambutan hari kebangsaan ke-37

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Sempena menyemarakkan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, tahun 2021, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah telah mengungkayahkan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Peringkat Kebangsaan.

Peringkat akhir pertandingan berkenaan telah diadakan di Balai Sarmayuda, DBP, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pertandingan yang dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berusia 18 tahun dan ke atas itu telah disertai oleh seramai 22 orang peserta iaitu 12 orang dalam kategori lelaki dan 11 dalam kategori perempuan yang berentap dalam peringkat saringan pada 25 Februari lalu dengan hanya lima peserta bagi setiap kategori mara ke peringkat akhir.

Muncul johan bagi kategori lelaki ialah Awang Riduwan bin Johari dengan sajak ‘Kemerdekaan’ karya K.Manis. Manakala itu, Dayang Rozina binti Haji Salim menjadi johan dalam kategori perempuan dengan sajak ‘Narasi Negeriku’ karya A. Hashim Hamid.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bergambar ramai bersama para peserta peringkat akhir pertandingan tersebut.

Tiga panel hakim dilantik bagi menilai aspek-aspek pengucapan, penghayatan dan kreativiti yang terdiri daripada penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara dan juga penulis prolifik serta aktif berkarya.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam ucapannya pada majlis tersebut antara lain menjelaskan bahawa Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka amat penting ertinya sebagai usaha menumbuhkan dan memelihara semangat cinta tanah air.

“Penegasan identiti kebangsaan melalui puisi patriotisme dapat memberi semangat bagi generasi muda untuk introspeksi dan merenung apa yang dapat kita sumbangkan bagi bangsa dan negara,” tekan beliau.

Semangat patriotisme yang terakam dalam bentuk puisi, jelas beliau lagi, akan memperlihatkan betapa utuh, padu dan kentalnya mata pena penyair terhadap semangat nasionalisme dan perjuangan bangsa baik masa lalu dan masa kini.

Suara-suara penyair berkenaan akan menjadi sejarah dan juga akan jadi panduan hidup masa depan anak bangsanya, manakala sajak-sajak patriotik oleh penyair masa kini adalah legasi penyambung hayat dalam mengisi erti kemerdekaan, tambah beliau.

Majlis juga telah diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Peraduan Menulis Cerpen dan Kritikan Bahana DBP, 2019 di mana pemenang bagi Peraduan Menulis Cerpen yang menerima penghormatan pertama ialah Hajah Nur Hamizah binti Haji Samihon dengan tajuk cerpen ‘Sepasang Sayap di Mandian Puteri’.

Manakala itu, Awang Syahwal Nizam bin Haji Yani pula menerima penghormatan pertama dalam Peraduan Menulis Kritikan Sastera BAHANA DBP, 2019 dengan tajuk esei ‘Teori Sastera Autobiografi: Puisi Autobiografi Yahya M.S. Dalam Musim-Musim Perjalanan’.