DBP sumbang buku ke pusat pengasingan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Bersempena Sambutan Hari Literasi Sedunia yang disambut setiap 8 September, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyerahkan sumbangan buku, majalah dan bahan bacaan untuk mereka yang sedang menjalankan kuarantin di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan DBP, antara yang disumbangkan adalah buku-buku terbitan DBP sebanyak 502 naskhah dan majalah-majalah Pantaran, Mekar, Juara dan Beriga terbitan DBP sebanyak 939 naskhah.

Sumbangan bahan bacaan tersebut merupakan inisiatif DBP untuk menyediakan bahan bacaan bagi yang berada di pusat pengasingan dan di samping itu, untuk mengisi masa mereka ketika menjalankan kuarantin.

Turut disumbangkan adalah 70 buah buku mewarna dan 217 kotak pensel warna.