Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Dalam menyambut baik Program Bandarku Ceria, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut tidak ketinggalan untuk memeriahkan program tersebut dengan mengadakan Majlis Kutipan Amal bagi Mangsa Kebakaran Kampung Pandai Besi ‘A’ dan Kampung Lurong Dalam yang diadakan di Dermaga Diraja, di sini, hari ini.
Dengan bertemakan ‘Kami Peduli’, DBP yang diketuai Pemangku Pengarahnya, Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan telah mengadakan aktiviti dan jualan seperti Jualan Majalah Mekar Barabis, melukis dan mewarna, seni khat jawi, jualan barang-barang terpakai dan aktiviti bahasa dan sastera.
Program yang telah bermula sejak minggu lepas ini akan diteruskan lagi pada 22 dan 29 Januari ini.
Sehubungan itu pihak DBP mengalu-alukan penyertaan para pegawai dan kakitangan kerajaan, penduduk dan orang ramai untuk datang memeriahkan kegiatan dan jualan yang berkebajikan itu.
Bagi sebarang pertanyaan mengenai projek berkenaan bolehlah menghubungi Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

