DDMC Belait bantu mangsa banjir

Oleh Nurdiyanah R.

BELAIT, 14 NOV – Berikutan turunan hujan yang lebat semenjak 4 November lalu, beberapa kawasan pedalaman di Daerah Belait terutamanya di kawasan Mukim Bukit Sawat, Mukim Labi, Mukim Sukang dan Mukim Melilas, Ulu Belait telah dinaiki air melepasi paras normal, menyebabkan beberapa rumah dan jalan penghubung dilanda banjir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Belait menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait, beberapa tindakan awal bagi menghadapi banjir telah pun dilaksanakan oleh DDMC Belait semenjak 4 November lalu dengan membuat pemantauan dan laporan paras air yang berterusan melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), serta pengagihan bantuan catuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Begitu juga bantuan-bantuan logistik untuk kemudahan pengangkutan seperti perahu atau temuai bagi mangsa-mangsa banjir yang memerlukan telah disediakan melalui Jabatan Daerah Belait dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Dalam pada itu, dengan kedudukan paras air yang semakin meningkat di Jalan Utama Bukit Puan, Mukim Labi dan Jalan Merangking Hilir, Mukim Bukit Sawat, DDMC Belait telah pun mengaktifkan Pos Kawalan Insiden di Dewan Serba guna Kampung Sungai Mau, bermula 11 November lalu.

Dengan adanya ICP ini, bantuan-bantuan logistik seperti pengangkutan, perubatan dan lain-lainnya akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan teratur dalam memberikan bantuan kepada penduduk-penduduk kampung yang terjejas.

Anggota menyelamat menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di Daerah Belait.

Hasil daripada laporan pemantauan banjir yang dilaksanakan oleh JBP pada 12 November lalu iaitu pada jam 5:30 petang, terdapat empat jalan raya utama telah pun dikenal pasti dan ditutup untuk laluan orang ramai kerana paras air yang sangat tinggi melebihi satu meter tinggi dan tidak selamat untuk dilalui.

Bagi kemudahan penduduk kampung yang terjejas khususnya yang tinggal di Kampung Bukit Puan dan Kampung Labi, DDMC Belait melalui ABDB, JBP dan Jabatan Daerah Belait ada menyediakan pengangkutan menggunakan perahu bagi memudahkan orang ramai yang hendak melalui jalan tersebut secara berjadual.

Oleh itu, penduduk-penduduk yang hendak pergi ke Mukim Labi, tempat menunggu ialah Dewan Serba guna Kampung Sungai Mau, bagi penduduk-penduduk yang hendak keluar dari Mukim Labi pula tempat menunggu ialah di Taman Rekreasi Luagan Lalak.

Sementara itu, bagi penduduk yang hendak pergi ke Kampung Merangking, tempat menunggu ialah di kawasan Sungai Kagu dan di kawasan berdekatan Simpang 1366, Merangking Hilir.

Dalam pada itu juga, ABDB telah memasang sementara steel grider bagi mengukuhkan jambatan Sungai Rampayoh bagi kegunaan penduduk di Kampung Mendaram Besar, Kampung Mendaram Kecil dan Kampung Teraja, Mukim Labi.

Bagi sebarang perhubungan dan pertanyaan mengenai kejadian banjir orang ramai bolehlah menghubungi nombor 3 339048 dan 3 339049.