De Bruyne mahu cipta sejarah bersama Citizens

LONDON, 13 APRIL – “Menang semuanya,” kata Kevin De Bruyne ketika ditanya mengenai impiannya untuk Manchester City selepas menandatangani kontrak baharu empat tahun dan menjadi pemain menerima bayaran paling tinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.

Ketika musim berbaki dua bulan lagi, City dalam laluan tepat mencipta sejarah untuk menjulang empat trofi iaitu trofi Liga Juara-Juara, EPL, Piala FA dan Piala Liga.

Jika City berjaya mara melepasi suku akhir Liga Juara-Juara, ia akan menjadi pencapaian terbaik buat pengurus City, Pep Guardiola ketika beliau berusaha untuk layak ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh lima tahun bersama Manchester City esok.

City berkunjung ke Borussia Dortmund Khamis ini dengan bekalan tipis menerusi kemenangan 2-1, namun masih trauma aksi suku akhir sejak tiga tahun lalu.

“Tahun berbeza, pemain sama,” itu reaksi De Bruyne mengimbau kekalahan 1-3 kepada Lyon di Lisbon musim lalu.

Aksi pemain tengah City, Kevin De Bruyne ketika mengawal bola semasa perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara antara Manchester City dan Borussia Dortmund pada 6 April lalu. – AFP

Kesilapan pertahanan, terlepas peluang dan kontroversi VAR menghampakan skuad Guardiolla ketika mereka disingkirkan Liverpool dan Tottenham pada 2018 dan 2019.

Walaupun memiliki penyerang muda berbakat Erling Braut Haaland, Dortmund kini menduduki tangga kelima Bundesliga dan sepatutnya tiada masalah berdepan pendahulu EPL itu.

Tetapi De Bruyne berdepan terlalu banyak kesilapan di City dalam saingan kejohanan elit Eropah dan trofi Liga Juara-Juara satu-satunya yang belum dimiliki bintang Belgium itu sejak tiba di England pada 2015.

Kesungguhannya untuk menamatkan penantian City menguasai pentas Eropah menjadi faktor kepadanya dan kelab dalam mencapai persetujuan kontrak baharu yang dilaporkan £20 juta (AS$27 juta) setahun.

De Bruyne menunjukkan bahawa beliau bukan pemain biasa di luar padang dan juga di atas padang semasa rundingan.

Pemain berusia 29 tahun itu tidak menggunakan ejen dan sebaliknya bekerja dengan syarikat analitik untuk menunjukkan data yang menyokong tuntutannya sebagai pemain utama kejayaan City. – AFP