De Dea, Lingard wira Red Devils

LONDON, 20 SEPT – David de Gea berjaya menyelamatkan penalti di minit-minit akhir perlawanan selepas jaringan Jesse Lingard mengecewakan West Ham dalam kemenangan 2-1 untuk Manchester United semalam.

Pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London itu dijangka akan berakhir dengan keputusan seri.

Namun satu tamparan buat jurulatih West Ham, David Moyes, yang cuba menandatangani semula Lingard selepas pinjamannya musim lalu di West Ham, di mana pemain gantian United itu berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89.

Beberapa lagi insiden mendebarkan berlaku apabila VAR memutuskan bahawa pemain pertahanan United, Luke Shaw telah didapati ‘handball’ di dalam kawasan kotak penalti.

Moyes segera menurunkan kapten pasukannya, Mark Noble untuk mengambil sepakan penalti tetapi De Gea berjaya menyelamatkannya dan wisel penamat ditiup beberapa saat kemudian.

Reaksi Lionel Messi apabila enggan bersalaman dengan Mauricio Pochettino ketika dia meninggalkan padang semasa perlawanan Ligue 1 menentang Olympique Lyonnais di Stadium Parc des Princes di Paris semalam. – AFP

Ia adalah penalti pertama yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang dari Sepanyol itu sejak April 2016, selepas 40 kali gagal untuk kelab dan negara tanpa menyelamatkan satu sepakan penalti.

Jaringan Lingard telah menebus kesilapannya pada perlawanan pertengahan minggu lalu, yang mana kecuaiannya memberikan kemenangan kepada pasukan Switzerland, Young Boys 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara menentang United.

“Saya sangat gembira. Saya mempunyai masa yang baik di West Ham tetapi saya harus terus maju dan melakukan yang terbaik bersama Man United,” beritahu Lingard kepada Sky Sports.

“Saya telah bekerja keras dan untuk mengharungi minggu lalu bukan mudah tetapi untuk mendapatkan peluang dan jaringan cukup bagus bagi saya.”

Hasilnya membawa United ke tempat ketiga EPL, di bawah Chelsea dan Liverpool, setelah empat kemenangan dalam lima perlawanan pembukaan mereka.

Sebelum itu, Cristiano Ronaldo juga berjaya menjaringkan gol keempat dalam tiga perlawanan sejak kembali ke United dari Juventus. Bintang Portugal itu diejek oleh peminat tuan rumah.

West Ham tanpa penyerang terbaik mereka Michail Antonio yang digantung perlawanan, namun mendahului perlawanan pada minit ke-30 menerusi Benrahma yang berjaya mengasak Raphael Varane dan melepasi De Gea.

Hanya lima minit kemudian, Ronaldo menjaringkan gol dari jarak dekat melepasi penjaga gawang West Ham, Lukasz Fabianski menerusi hantaran lintang Bruno Fernandes. – AFP