De-escalation tahap kedua bagi pusat dan fasiliti sukan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa perlaksanaan de-escalation tahap kedua bagi pusat dan fasiliti sukan akan bermula pada 15 Jun ini.

Perlaksanaan de-escalation tahap kedua bagi pusat dan fasiliti sukan adalah merujuk kepada kenyataan media KKBS bertarikh 6 Jun 2020 mengenai pengemaskinian de-escalation tahap pertama bagi pusat sukan tertutup dan pusat sukan luar serta kenyataan media bertarikh 14 Mei 2020 mengenai perlaksanaan pelan de-escalation tahap pertama bagi pusat gim dan pusat kecergasan, fasiliti sukan tertutup, fasiliti sukan luar dan padang golf.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Menurutnya, kapasiti yang dibenarkan adalah pertama, bagi gim, pusat kecergasan, fasiliti sukan tertutup dan fasiliti sukan luar, adalah dibenarkan beroperasi dengan 60 peratus kapasiti dalam satu masa.

Kedua, bagi sukan golf adalah dibenarkan kepada empat pemain dalam satu perlawanan, manakala kenderaan Buggy hanya boleh menampung seorang pengguna sahaja pada satu masa.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menjelaskan mengenai permulaan de-escalation tahap kedua bagi pusat dan fasiliti sukan, kelmarin. – Gambar oleh Rahwani Zahari

“Sekali lagi diingatkan bahawa para pengguna hendaklah membawa peralatan sukan sendiri, di mana perkongsian peralatan tersebut adalah tidak dibenarkan.

Di samping itu, sukan-sukan anjuran, sukan berpasukan dan sukan yang melibatkan kontak juga tidak dibenarkan. Setiap pengguna juga hendaklah mendaftar dan memuat turun aplikasi BruHealth untuk pendaftaran kod QR dan bagi tempahan fasiliti sukan,” tambahnya.

Pemilik pusat-pusat dan fasiliti sukan pula perlulah sentiasa menyelenggara sistem tempahan dan jadual masa bagi memastikan keselamatan kakitangan dan para pengguna.

KKBS dalam pada itu juga ingin mengingatkan kepada para pengguna dan pengurus premis untuk terus mempraktikkan garis pandu Kementerian Kesihatan yang sedia ada dengan sentiasa mengamalkan tanggungjawab sosial semasa berada dalam fasiliti sukan tersebut, berada dalam keadaan yang sihat, membawa sanitasi tangan sendiri serta memastikan kebersihan diri, pera-latan dan persekitaran fasiliti pada setiap masa.

Untuk maklumat lanjut, pusat-pusat dan orang ramai bolehlah merujuk kepada garis pandu yang terperinci yang telah disediakan oleh KKBS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dengan melayari laman web www.kkbs.gov.bn.