De Gea cuba tebus kesilapan bertemu villarreal

MANCHESTER, 28 SEPT – Manchester United akan bertemu Villarreal sekali lagi awal pagi nanti dan United terdesak untuk meraih kemenangan bagi mengelak dimalukan sekali lagi di pentas Eropah serta mengurangkan tekanan pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer.

The Yellow Submarine muncul sebagai pemenang setelah penentuan sepakan penalti yang berakhir 11-10 ketika kedua-dua pasukan kali terakhir bertemu di peringkat final pada Mei dan membawa pulang trofi utama buat julung kalinya.

Kekalahan tersebut melanjutkan penantian Solskjaer untuk meraih trofi pertama sebagai pengurus United sejak mengambil alih tugasan pada Disember 2019, dengan penjaga gol, David de Gea pemain yang dipersalahkan di Gdansk.

Pada ketika itu, waktu De Gea berada di United sebagai penjaga gol utama sudah tamat, meskipun menjadi salah seorang pemain yang menerima gaji tertinggi di Liga Perdana Inggeris.

Solskjaer sudah memilih Dean Henderson sebagai pilihan utama menuju penghujung Liga Perdana Inggeris musim lalu dan keputusannya untuk tidak menurunkan penjaga gol England, yang mempunyai rekod lebih baik dalam menyelamatkan sepakan penalti, menjadi punca kekalahan di final.

Tetapi, Henderson positif dijangkiti koronavirus semasa pra musim, memberikan De Gea peluang untuk memulakan kempen.

Meskipun mencatatkan keputusan tidak menentu, United mungkin berada di kedudukan yang lebih teruk sekiranya penjaga gol berusia 30 tahun itu tidak kembali ke prestasi lamanya. De Gea menghasilkan aksi menyelamat luar biasa semasa Red Devil berjaya mencuri kemenangan 1-0 ke atas Wolves.

“Saya cuba berlatih dengan baik, untuk menunjukkan saya sudah bersedia dan menuju perlawanan dengan semangat, pengalaman dan kualiti yang sama untuk pasukan,” kata De Gea. “Saya merasa sangat baik dan yakin. Saya gembira dan itulah perkara paling penting.” – AFP

Reaksi kecewa penjaga gol United, David De Gea selepas gawangnya dibolosi semasa pertemuan menentang Aston Villa minggu lalu. – AP