De Gea percaya kemampuan diri

LONDON, 18 OGOS – David De Gea berkata dia masih yakin dengan keupayaannya meskipun terdapat banyak kritikan dalam beberapa bulan kebelakangan dan pertanyaan mengenai adakah dia harus kekal menjadi penjaga gol pilihan utama Manchester United.

Kedudukan pemain kebangsaan Sepanyol berusia 29 tahun itu berada di bawah tekanan yang semakin meningkat kerana prestasi yang ditunjukkan oleh Dean Henderson yang dipinjamkan ke kelab lawan Liga Perdana Inggeris, Sheffield United.

Penjaga gol England berusia 23 tahun itu dipercayai telah memberitahu pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer bahawa dia ingin berpindah jika tidak diberikan tempat sebagai pilihan utama.

Chelsea dilaporkan berminat untuk menandatangani Henderson ketika mereka berusaha untuk menjual Kepa Arrizabalaga. Manakala penggantinya, Willi Caballero kini berusia 39 tahun.

De Gea walau bagaimanapun mempertahankan diri berikutan kekalahan 2-1 United kepada pasukan Sepanyol, Sevilla di separuh akhir Liga Europa.

David De Gea masih berasa yakin dengan kemampuan dirinya walaupun menerima banyak kritikan sejak akhir-akhir ini. – AP

Ole Gunnar Solskjaer menaruh kepercayaannya terhadap De Gea dengan menurunkannya untuk beraksi menentang Sevilla berbanding memilih Sergio Romero, yang selalunya beraksi di Liga Europa.

De Gea telah bersama United sejak 2011 dan menandatangani perjanjian baharu sehingga 2023 pada September tahun lalu.

Dia telah dipilih sebagai pemain terbaik tahunan United sebanyak empat kali tetapi musim lalu adalah musim yang mencabar dengan dua kesilapan dalam kekalahan separuh akhir Piala FA menentang Chelsea.

“Tidak, saya mempercayai diri saya sendiri,” De Gea memberitahu agensi berita Press Association.

“Saya menunjukkan keupayaan saya selama ini, jadi saya telah menjadi pilihan utama pengurus.

“Saya sentiasa bersedia untuk bermain dan cuba untuk membantu pasukan seperti yang saya sering lakukan.”

De Gea berkata meskipun tewas dalam tiga perlawanan separuh akhir musim lalu – mereka tewas di tangan Manchester City di Piala Liga – melihat ada peningkatan dalam kelab di bawah pengurusan Solskjaer. – AFP