De Jong belum bersedia untuk bermain

MADRID, 22 MEI – Pemain kebangsaan Belanda, Frenkie De Jong kelmarin berkata bahawa dia merasa lega kerana menyambung semula latihan bersama Barcelona tetapi ‘belum bersedia untuk memulakan perlawanan’ selepas dua bulan terhenti akibat pandemik koronavirus.

Kelab-kelab Sepanyol memulakan latihan secara berkumpulan dengan minimum 10 orang pada Isnin lalu, sejajar dengan protokol kesihatan, ketika La Liga sedang mengambil langkah ke hadapan menuju rancangan menyambung semula musim yang terhenti pada bulan hadapan.

“Saya rindu mengadakan latihan, rakan sepasukan saya, bermain bola sepak dan semua benda,” kata De jong dalam temu bual di laman web kelab.

“Dua atau tiga bulan berjauhan adalah masa yang lama. Sangat bagus dapat berjumpa dengan mereka sekali lagi selepas terpisah kerana percutian, tetapi kebiasaannya hanya tiga minggu atau lebih tetapi ini hampir tiga bulan.”

Pasukan-pasukan di dua divisyen teratas di Sepanyol kembali memulakan latihan awal bulan ini, dengan pemain pada awalnya menjalani latihan secara individu sebagai sebahagian daripada program berperingkat La Liga.

“Saya tidak rasa saya bersedia untuk bermain. Kami memerlukan beberapa minggu untuk berlatih. Pertama secara individu, kemudian dalam kelompok yang kecil dan kemudian seluruh pasukan. Kami akan bersedia untuk bermain dalam masa beberapa minggu,” kata De jong.

“Saya rasa ia adalah permulaan yang baik untuk mengadakan latihan secara berasingan kerana semua orang bekerja mengikut rentas mereka dan mungkin melihat tahap kecergasan mereka sebelum bekerja dengan keseluruhan pasukan. Saya rasa semua orang merasa bagus! Ia adalah peningkatan yang baik.”

Ketua La Liga, Javier Tebas berharap perlawanan akan disambung semula pada 12 Jun tetapi mengakui masa sebenar akan ditentukan oleh pihak berkuasa kesihatan di Sepanyol dan perkiraan virus. – AFP

Gambar fail aksi De Jong ketika mewakili pasukan kebangsaan Belanda. Frenkie De Jong berkata bahawa dia merasa lega kerana menyambung semula latihan dengan Barcelona tetapi belum bersedia untuk memulakan perlawanan. – AP