De Ligt ke Juventus?

PARIS, 14 JULAI – Matthijs de Ligt semakin menghampiri perpindahan ke Juventus selepas Ajax mengumumkan bahawa bintang muda itu tidak akan menghadiri kem latihan pra musim juara Belanda itu disebabkan potensi perpindahannya.

Dalam satu kenyataan, Ajax menyenaraikan skuad 28 pemain bagi membuat perjalanan ke kem latihan di Bramberg Austria petang kelmarin, dengan menambah ‘dengan menunggu kemungkinan perpindahan, Matthijs de Ligt tidak akan membuat perjalanan dengan pasukan’.

Minggu lepas, ejen pemain itu, Mino Raiola memberitahu akhbar Belanda, De Telegraaf, bahawa satu perjanjian telah dicapai antara Juve dan pemain pertahanan itu, dengan kontrak lima tahun bernilai 12 juta euro semusim dan klausa beli 135 juta.

Bagaimanapun, kedua-dua kelab belum mencapai persetujuan di mana Ajax dilaporkan mahu 75 juta euro, tetapi Gazzetta dell Sport mendakwa yuran 70 juta euro dijangka dipersetujui.

De Ligt, yang akan memasuki usia 20 tahun bulan depan, dijangka menyertai juara Serie A itu selepas menghasilkan persembahan kental semasa kempen Liga Juara-Juara Ajax musim lepas.

Dia menerajui pasukan itu dengan gelaran berganda serta kempen hebat Eropah, termasuk menewaskan Real Madrid dan Juve, namun berakhir dengan kekalahan separuh akhir kepada Tottenham Hotspur.

De Ligt mungkin menjadi penandatanganan keenam Juve bagi musim panas yang sibuk ini, yang menyaksikan Juve telah membawa masuk Maurizio Sarri sebagai jurulatih dan menyambar Adrien Rabiot, Aaron Ramsey, Luca Pellegrini, Merih Demiral dan Gianluigi Buffon. – AFP

Gambar bertarikh 10 April 2019 menunjukkan Ronaldo (kiri) bersama dengan Matthijs de Ligt dalam saingan Liga Juara-Juara antara Juventus dan Ajax. – AFP