De Oliveira bakal berentap di Sepang

KUALA LUMPUR, 4 DIS – Pemenang pelbagai kejohanan, Joao Paulo de Oliveira akan berentap dalam super finale World Touring Car Cup (WTCR) 2019 yang akan berlangsung pada 12 hingga 15 Disember ini.

Pemandu kelahiran Brazil itu memperoleh tiket ‘wildcard’ untuk super finale di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan jentera lumba jenis Honda Civic Type R TCR bersama KC Motorgroup.

Penyertaan De Oliveira menandakan kemunculan semula perlumbaan kereta antarabangsa peringkat tertinggi selepas 10 tahun, sejurus kemunculan pertama di WTCR 2009 di Jepun, di mana beliau menyertai perlumbaan secara meluas sejak 2004 dan terbaharu dalam Super GT.

“Ia akan menjadi cabaran buat saya kerana saya tidak pernah memandu sebuah kereta TCR sebelum ini, tetapi saya berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan kompetitif sepanjang hujung minggu.

“Matlamat saya adalah untuk mencabar pemandu yang lebih berpengalaman dan berjuang untuk kedudukan 10 teratas dalam perlumbaan,” kata pemandu berusia 38 tahun itu dalam satu kenyataan.

De Oliveira atau lebih dikenali sebagai JP, telah menjadi juara Jerman F3 pada tahun 2003 apabila meraih kemenangan meyakinkan dengan memenangi 13 daripada 16 perlumbaan, kemudian tiba di Jepun pada tahun 2004 dan meraih gelaran F3 Jepun pada tahun 2005 dengan mendapat tujuh kemenangan, yang menjadi satu lagi kejuaraan membanggakan.

Sejak itu, JP menyertai Nissan sebagai pelumba rasmi mereka untuk 13 tahun dalam Super GT dan Super Formula, di mana beliau menjadi juara pada tahun 2010. – Bernama