Debaran Bundesliga

BERLIN, 17 Mei – Jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac dan rakan sejawatannya di Borussia Dortmund, Lucien Favre masing-masing perlu mengharungi pertembungan penuh memori hujung minggu ini ketika Bundesliga bakal menyaksikan penamat dramatik musim dalam tempoh beberapa tahun.

Kedua-dua Kovac dan Favre akan berdepan bekas kelab masing-masing pada perlawanan terakhir musim, ketika perebutan gelaran berlanjutan hingga minggu terakhir buat pertama kali sejak 2010.

Bayern ketika ini dua mata di depan Dortmund, dan boleh meraih gelaran liga ketujuh berturut-turut sekiranya mereka mengelakkan kekalahan di laman sendiri oleh bekas kelab Kovac, Eintracht Frankfurt.

Sementara Dortmund pula akan membuat kunjungan ke bekas kelab Favre, Borussia Moenchengladbach, sedar bahawa mereka hanya dapat dimahkotakan juara jika menang dan Bayern tewas.

“Kami perlu fokus pada permainan kami,” kata Favre, dengan menambah bahawa Dortmund perlu bersedia bagi semua kemungkinan menentang Gladbach, yang dikendalikannya antara 2011 dan 2015.

“Mereka bermain dengan baik dalam serangan balas, tetapi mereka juga boleh memberikan tekanan di kawasan lawan, dan mereka juga perlu menang,” katanya.

Terdapat lebih daripada gelaran dipertaruhkan hujung minggu ini, dengan kedua-dua Gladbach dan Frankfurt masih dalam pemburuan kelayakan Liga Juara-Juara.

“Mereka mempunyai sebab untuk menang, jadi mereka tidak perlu motivasi tambahan,” kata pengarah sukan Dortmund, Michael Zorc.

Zorc mengakui bahawa Bayern masih mempunyai kelebihan, tetapi menyatakan bahawa kelabnya sedang merancang keraian bagi potensi gelaran di pusat bandar Dortmund. – AFP

Gabungan gambar menunjukkan Niko Kovac (kiri) dan Lucien Favre. Kedua-dua Kovac dan Favre menyaksikan pasukan masing-masing terjerumus dalam perebutan gelaran yang berlanjutan hingga minggu terakhir buat pertama kali sejak 2010. – AFP