Debaran EPL bermula

LONDON, 9 Ogos – Bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) hanya memiliki masa yang singkat untuk melupakan Piala Dunia, di mana saingan untuk menyaingi juara bertahan Manchester City bermula esok.

Selepas melalui Piala Dunia, jendela perpindahan yang akan berakhir dalam tempoh 24 jam sebelum musim Liga Perdana membuka tirai telah menunjukkan beberapa kelab berusaha pada saat-saat akhir untuk menguatkan lagi skuad, tidak lebih daripada Manchester United.

Skuad Red Devils akan memulakan kempen di tempat sendiri menentang Leicester awal pagi esok berharap untuk melupakan kekecewaan pra musim ditambah lagi dengan rungutan Jose Mourinho.

Mourinho telah menempelak pihak kelab kerana gagal untuk mengukuhkan skuad meskipun telah mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Brazil, Fred dan Portugal, Diogo Dalot.

Sementara United kelihatan kurang menyakinkan, Liverpool telah menjadi pilihan kedua di belakang City selepas berbelanja lebih 170 juta pound untuk mendapatkan penjaga gol, Alisson, pemain tengah Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri.

Mourinho dan Klopp berbual semasa perlawanan persahabatan Piala Juara-Juara Antarabangsa di Stadium Michigan pada 28 Julai lalu. – AP

“Kelab-kelab lain yang bersaing dengan kami sudah kukuh dan memiliki pasukan yang mantap atau mereka membuat pelaburan besar seperti Liverpool yang telah memberi membeli semua pemain,” kata Mourinho.

“Jika kami tidak membentuk pasukan yang mantap, jadi ia akan menjadi musim yang sukar untuk kami.”

United turut dibelenggu dengan kekuatan skuad selepas beberapa pemain utama termasuk Paul Pogba, Romelu Lukaku dan Marcus Rashford hanya memiliki masa yang singkat dalam persediaan pra musim selepas beraksi di Piala Dunia.

Sementara itu, Liverpool berada dalam kedudukan yang terbaik menjelang perlawanan pembukaan di tempat sendiri menentang West Ham di mana Virgil van Dijk, Keita dan Fabinho terlepas aksi Piala Dunia, sementara Mohamed Salah dan Sadio Mane tersingkir di peringkat kumpulan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp menunjukkan kebolehan mereka untuk menewaskan City pada musim lepas, mencatat kemenangan tiga daripada empat pertemuan antara kedua-dua kelab, termasuk kemenangan agregat 5-1 semasa suku akhir Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, Liverpool ketinggalan 25 mata di belakang juara liga apabila skuad kendalian Pep Guardiola merangkul gelaran dengan rekod 100 mata.

“Pemain yang beraksi pada tahun lepas bertanggungjawab dengan aksi yang mantap itu dan kemudian kami membawa masuk beberapa pemain baharu sekali gus akan menguatkan lagi skuad,” tambahnya. “Tidak ada siapa yang konsisten dengan 11 pemain. apa yang kami sedang lakukan sekarang adalah kekuatan skuad kerana anda memerlukannya.” – AFP