Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Enam perlawanan terakhir Liga Futsal Brunei Darussalam (BFL) akan berlangsung hujung minggu ini dengan menyaksikan perlawanan antara MS ABDB menentang Pasukan NFT U20 dan Najib FT menentang Kuantan Rangers pada hari ini. Sementara Miri FA menentang Shah United dan Kuantan Rangers menentang Eagle Blues pada hari Sabtu. Pada hari Ahad pula akan menyaksikan Rizbiz FT menentang Kota junior dan perlawanan kemuncak liga iaitu antara Pasukan Arbisyam, pendahulu liga, menentang Kuantan Rangers.
Semua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Sehubungan dengan itu, Media Permata turut berkesempatan untuk menghubungi jurulatih dan wakil pasukan Arbisyam serta Kuantan Rangers mengenai perlawanan akhir Ahad nanti.
Menurut Dipertua Arbisyam FC, yang juga merangkap penasihat dalam latihan pasukan itu Haji Ishak Haji Mohamad menegaskan perlawanan menentang Kuantan Rangers adalah satu perlawanan yang ditunggu-tunggu.
“Pasukan Kuantan Rangers mempunyai pemain profesional dengan sendirinya boleh menjadi sukat-sukat bagi menguji kebolehan dan menilai kemampuan pemain serta kepakaran kami di bahagian kejurulatihan,” ujarnya.
Memandangkan Kuantan Rangers belum tewas setakat ini, Arbisyam FC telah mengemaskinikan sedikit usaha memperbaiki kelemahan dan tidak akan lalai dalam perlawanan-perlawanan penting seperti semasa menentang Miri minggu lepas.
“Kami menumpukan latihan di bahagian pertahanan dan serangan supaya lebih bekerjasama. Justeru kami akan meneruskan fokus ini untuk tidak membiarkan Kuantan Rangers mendapat ruang dengan bebas untuk bergerak,” tegasnya kepada Media Permata.
Apabila ditanya mengenai jangkaan terhadap penyertaan kali ini, beliau menyatakan jangkaan Arbisyam FC memang sudah tercapai iaitu untuk mencapai kedudukan tiga tangga teratas dan menyatakan harapan rancangan Arbisyam FC untuk memperkembangkan lagi skim pembangunannya.
“Pihak pemain Arbisyam FC ditanamkan semangat juang bahawa Arbisyam FC bertekad membuktikan kebolehannya tanpa mengira siapa yang dilawan kerana untuk menjadi yang terbaik kita mesti berani menerima sebarang cabaran,” tegasnya lagi.
Sementara itu ketua jurulatih Kuantan Rangers, Mohammad Faizul bin Abdul Gaffer ketika dihubungi menegaskan rasa berbesar hatinya atas penerimaan pasukan itu bagi menyertai kejohanan BFL tahun ini.
Menurut Faizul, pasukannya sangat serius dan belajar untuk menjadi pasukan yang terbaik dan menurutnya Kuantan Rangers adalah pasukan baru dan misi di sini adalah untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman dan membentuk keserasian antara pemain.
“Saya mengambil serius dan sentiasa hormat kepada pasukan lawan, kami akan bermain bersungguh- sungguh dengan setiap pasukan yang bakal kami jumpa, banyak yang kami perlu belajar dan dalam masa yang sama berusaha untuk memenangi kesemua baki perlawanan di BFL 2017 ini,” tambahnya.