Debaran Lumba Perahu Tradisi

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Sebanyak lapan buah pasukan akan bersaing di dalam acara Lumba Perahu Tradisi 2016 anjuran Majlis Perundingan Kampung Kota Batu, Kampung Pintu Malim dan Kampung Sungai Lampai Ahad ini nanti.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Kampung Kota Batu, juga selaku Pemangku Ketua Kampung Pintu Malim dan Kampung Sungai Lampai, Haji Awang Damit bin Laidin ketika ditemui sejurus selepas mesyuarat pengurus dan pengundian lorong yang berlangsung di Jabatan Daerah Brunei dan Muara semalam.

Beliau selaku pengerusi kejohanan berkenaan menegaskan acara ini pada mulanya dihasratkan sebagai pengisian musim cuti persekolahan pada bulan Disember lalu dan dijadualkan pada 1 Januari, namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan serta mendapat saranan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, maka ia diadakan pada 8 Januari 2017 ini nanti.

Perlumbaan tersebut bakal diadakan pada jam 8 pagi sehingga 5 petang pada hari Ahad,di Dermaga Diraja di ibu negara. Ia akan melibatkan perlumbaan antara mukim-mukim di Daerah Brunei dan Muara, Perlumbaan antara syarikat-syarikat swasta dan perlumbaan antara jabatan-jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Haji Awang Damit ketika ditemui bagi mengulas mengenai acara Lumba Perahu Tradisi yang diadakan pada 8 Januari ini.
Haji Awang Damit ketika ditemui bagi mengulas mengenai acara Lumba Perahu Tradisi yang diadakan pada 8 Januari ini.

“Kami telah mendapat sokongan moral daripada pihak kementerian serta pihak penaja dan berharap supaya perlumbaan ini akan dapat kami teruskan dari setahun ke setahun yang mendatang,” ujar Haji Awang Damit lagi.

Apabila ditanya mengenai penyertaan pada penganjuran yang julung-julung kali diadakan ini, sambutan sangat menggalakkan termasuk penyertaan dari Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Mengulas mengenai keselamatan dalam acara itu menurutnya, beliau menyeru kepada pengguna Sungai Brunei untuk memberikan kerjasama bagi melancarkan lagi perlumbaan yang antaranya juga akan melibatkan perlumbaan bot laju.