Debaran Piala Dunia bermula

MOSCOW, 14 Jun – Presiden Rusia, Vladimir Putin merasmikan pembukaan Piala Dunia 2018 Rusia di depan 80,000 penyokong di Stadium Luzhniki, ketika pasukan tuan rumah bakal menghadapi Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan itu malam ini.

Bos FIFA, Gianni Infantino turut memberikan ucapannya, berterima kasih kepada Rusia atas usaha negara itu menjayakan Piala Dunia ini.

Rusia telah membelanjakan lebih daripada AS$13 bilion untuk menjayakan kejohanan bola sepak paling berprestij itu, kejohanan paling penting di negara itu sejak Olimpik Musim Panas Moscow 1980.

Trofi Piala Dunia telah dipamerkan di depan ribuan penyokong semasa acara pembukaan dan sebelum perlawanan pembukaan. Bekas penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas mencetuskan sorakan besar daripada ribuan penyokong di stadium apabila dia mengangkat tinggi trofi emas itu.

Barisan pemain Rusia dan Arab Saudi ketika acara pembukaan rasmi Piala Dunia yang dirasmikan oleh Presiden Vladimir Putin. – AP

Di luar stadium yang diubahsuai itu, penyokong berpakaian serba warna-warna menari, manakala kehadiran anggota keselamatan jelas kelihatan di acara pembukaan.

Suasana pada acara pembukaan sangat ceria dan aman, di mana kelihatan sekumpulan penyokong Rusia bersorak ke arah penyokong Arab Saudi yang berkumpul di luar salah satu pintu masuk.

Acara pembukaan termasuk konsert mini oleh bintang pop Britain, Robbie Williams, yang menyanyikan ‘Let Me Entertain You’.

Sorakan besar ‘Rusia’ bergema di segenap sudut stadium semasa acara pembukaan bermula dengan muzik daripada komposer, Pyotr Tchaikovsky. – AFP

RUSIA BERMULA GARANG

ANTARA aksi menarik dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A di antara tuan rumah Rusia dan Arab Saudi. Setakat pukul 11.45 malam semalam waktu Negara Brunei Darussalam, Pasukan Rusia mendahului Arab Saudi dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2018 Rusia. Jaringan Rusia dihasilkan oleh Yuri Gazinsky dan Denis Cheryshev pada minit ke-12 dan 43 separuh masa pertama. – AP