Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Debaran Piala Dunia semakin terasa

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Lapan pasukan terbaik kejohanan Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar akan berentap antara satu sama yang lain bermula esok yang sudah semestinya menjanjikan pertembungan menarik bagi menentukan pasukan manakah yang akan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

    Perlawanan suku akhir yang pertama antara Croatia dan Brazil sudah pastinya menjadi tumpuan utama di mana Brazil yang dianggap sebagai pasukan pilihan bakal memenangi Piala Dunia kali ini.

    Brazil membariskan beberapa orang pemain muda dan pemain senior yang berpengalaman serta bermutu tinggi.

    Namun Croatia terus mencipta kejutan demi kejutan pada kejohanan kali ini di mana pasukan itu tidak mencatatkan sebarang kekalahan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

    Perlawanan suku akhir seterusnya adalah antara pasukan Belanda menentang Argentina yang mana akan menampilkan pemain terbaik dunia, Lionel Messi bersama pemain-pemain hebat lain seperti Di Maria, Martinez, Otomendi, Romero dan ramai lagi.

    Belanda turut menampilkan pemain hebat termasuklah Van Dijk, Dumfries, de Jong, Cody Gakpo dan Depay yang mampu mencetak banyak gol pada perlawanan sebelum ini serta bertahan dengan baik sehinggakan pasukan itu hanya dibolosi dua kali sahaja semasa menentang Ecuador dan Amerika Syarikat dalam perlawanan peringkat Kumpulan A.

    Selain itu, perlawanan antara Portugal dan Maghribi juga harus dinantikan kerana kemampuan Maghribi untuk membuat kejutan dengan mengalahkan pasukan Sepanyol pada perlawanan di pusingan 16 terakhir yang banyak diperkatakan oleh para peminat sukan bola sepak seluruh dunia.

    Portugal kali ini bukanlah seperti pasukan yang dikenali sebelum ini yang banyak mengharapkan sentuhan hebat daripada bintang sensasinya, Cristiano Ronaldo.

    Sebaliknya, semasa perlawanan pusingan 16 terakhir, pasukan kendalian Fernando Santos itu menurunkan pemain muda, Goncalo Ramos sebagai pemain penyerang Portugal berbanding pemain senior yang lebih berpengalaman.

    Percaturan tersebut nyata membuahkan hasil dengan memberikan kemenangan besar dan selesa buat Portugal yang mencetak enam gol semasa menentang Switzerland yang mana tiga daripadanya dihasilkan oleh Goncalo Ramos.

    Sementara itu, perlawanan antara England dan Perancis juga merupakan perlawanan yang sungguh dinanti-nantikan.

    Apa tidaknya, England tampil dengan pemain-pemain terbaik dunia seperti Harry Kane, Henderson, Shaw dan pemain-pemain muda berbisanya seperti Bellingham, Bukayo Saka dan Phil Foden.

    Perancis juga tidak kurang hebatnya dengan Kylian Mbappe yang diperkatakan sebagai calon pemenang anugerah kasut emas pada kejohanan kali ini beraksi dengan begitu baik pada perlawanan pusingan 16 terakhir dan dalam peringkat kumpulan.

    Selain itu Giroud, Griezmann, Dembele dan Varane turut menarik perhatian dunia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...