ISLAMABAD, 1 Jun – Kerajaan awam Pakistan menamatkan penggalnya pada hari ini untuk kali kedua dalam sejarah negara, ketika pentadbiran sementara mengambil alih sebelum pilihan raya yang dijangka diadakan pada akhir Julai.
Pakistan telah diletak di bawah pemerintahan tentera selama hampir setengah daripada kewujudannya selama 70 tahun, dengan sekurang-kurangnya 15 pemimpin negara disingkirkan sebelum menamatkan tempoh mereka, biasanya atas perintah pertubuhan keselamatan yang berpengaruh.
“Menamatkan penggal ini merupakan satu kisah berjaya untuk demokrasi di Pakistan,” kata parti Liga-Nawaz Islam Pakistan (PML-N) dalam satu kenyataan di Facebook sejurus sebelum dewan rakyat dan kabinet dibubarkan pada tengah malam.
Desas-desus telahpun tersebar mengenai kemungkinan penangguhan dalam pilihan raya akan datang, tetapi pegawai telah berikrar akan mengadakan pilihan raya tepat pada masanya.
“Kerajaan sementara akan memastikan pilihan raya parlimen yang bebas dan adil diadakan pada 25 Julai ini,” beritahu pegawai kanan Pakistan yang bekerja dengan Perhimpunan Nasional kepada AFP.
Pegawai kerajaan kedua yang juga mengesahkan tarikh tersebut, berkata proses memilih kabinet sementara sedang diusulkan.
Pakistan menamatkan pemindahan kuasa demokratik pertamanya selepas pilihan raya pada 2013, apabila kerajaan yang dipimpn oleh Parti Rakyat Pakistan diserah kepada PML-N, selepas satu kemenangan besar.
Ketegangan semakin meningkat sebelum pilihan raya musim panas selepas penyingkiran bekas perdana menteri Nawaz Sharif oleh Mahkamah Agung disebabkan dakwaan rasuah pada Julai lalu. – AFP