Wednesday, October 9, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Debat Harris-Trump: ‘Ayuh, mulakan!’

    WASHINGTON, 11 SEPT- Di sebuah pusat hiburan yang penuh sesak di ibu negara AS, perdebatan malam kelmarin antara Donald Trump dan Kamala Harris mungkin telah disalah anggap sebagai sebuah perlawanan tinju.

    Orang ramai yang kebanyakannya golongan profesional yang muda mula memenuhi pusat tersebut sebelum persembahan bermula.

    “Ayuh, mulakan!,” jerit seseorang di tengah-tengah sorakan ketika TV menunjukkan kedua-dua calon naik ke pentas.

    Apabila Harris bersedia untuk membuat kenyataan pertamanya, kesunyian menyelubungi sebahagian besar penyokong Demokrat di pusat itu. Tiada sorakan gemuruh selepas beliau selesai membentangkan senarai janji-janjinya.

    Trump pula membuatkan penonton ketawa apabila beliau memulakan ucapannya dengan nada yang sangat kontras, menyerang Harris dengan kasar dan cepat beralih kepada kenyataan palsu tentang ekonomi dan imigresen.

    Laungan sorakan pertama kedengaran apabila Harris menyelar Trump atas tindakannya semasa serangan 6 Januari 2021 ke atas Capitol AS, yang terletak tidak jauh dari pusat hiburan berkenaan.

    Orang ramai telah lama menunggu debat seperti ini, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh Presiden Joe Biden semasa perbahasannya menentang Trump pada bulan Jun lalu.

    Anthony, 26, seorang penonton memberitahu AFP dengan berkata persembahan Biden dalam perbahasan yang lalu itu seperti, “melihat anjing tua yang dipukul dengan kayu.” Sebaliknya kali ini, Harris “berprestasi lebih koheren,” apabila dia dan Trump kedua-duanya “jauh lebih pantas.”

    Sementara Remy Salinas pula, seorang penyokong Republikan seumur hidup berkata dia ‘berasa sedih’ untuk Biden ketika debat Jun itu. Kali ini, dia berharap Trump sebagai seorang perunding utama seharusnya lebih ‘bertenang’ semasa perdebatan menentang Harris.

    Tetapi jelas jutawan berusia 78 tahun itu membuat keputusan yang berbeza, berulang kali meninggikan suara dan kelihatan marah sepanjang masa.

    Salinas mengakui Trump ‘tergelincir beberapa kali’, dan ‘mengambil umpan’ apabila dia diserang oleh Harris, tetapi naib presiden itu tetap ‘bertahan’ menurut pandangannya.

    Setelah debat berakhir, sekumpulan wanita berusia pertengahan 20-an di pusat itu sebulat suara mengatakan Harris jelas juara.

    Shannon, 23, seorang kakitangan kerajaan persekutuan, berkata prestasi perbahasan Harris membuatkan dia teruja. “Sudah pasti, saya pasti berasa lebih baik”, katanya. Ia adalah persembahan Trump yang ‘kelam kabut’ berbanding Harris yang lebih ‘digilap’, tambahnya.

    Rakannya, Olivia, 24 tahun, seorang pekerja bukan profesional, bersetuju, berkata Harris telah memberikannya semangat baru untuk pilihan raya.

    “Anda bukan hanya mengundi seseorang kerana anda terpaksa, tetapi kerana anda sebenarnya memang mahu mengundi,” katanya. – AFP

     Sekumpulan penonton mengikuti debat Presiden AS antara Kamala Harris dan Donald Trump di The Admiral di Washington, DC kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda