Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Dalam usaha untuk mengisi masa hujung minggu dengan kegiatan bermanfaat, lebih 70 orang telah menyertai lawatan ke ladang tempatan di sekitar Daerah Brunei dan Muara menerusi salah satu pakej pelancongan domestik yang dianjurkan oleh Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), kelmarin.
Lawatan dimulakan di Perladangan Riza Fudhlana di Jalan Bebatik Kulapis, Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Tanah Tuah, Kulapis di mana rombongan didedahkan dengan aspek proses penternakan ayam menjurus kepada pengeluar daging ayam dan telur.
Seterusnya, rombongan berpeluang menyaksikan penanaman cendawan di Greenthumb Farm Sdn Bhd, Pusat Penyelidikan Pertanian Brunei (BARC), Tanjung Bunut, Kilanas. Di sana, mereka didedahkan dengan pengetahuan am bermula daripada sesi pembenihan sehingga pertumbuhan oyster mushroom serta meliputi aspek pemasaran.
Manakala itu, destinasi terakhir adalah ladang ternakan itik yang diusahakan oleh Syarikat Perusahaan Bakar bin Berudin (Perusahaan BHB), KKP Luahan Jerudong.
Semasa lawatan itu, pemilik dan pengurus syarikat berkenaan, Haji Bakar bin Haji Berudin mengongsikan bahawa ladang berkenaan mampu mengeluarkan sebanyak 1,200 biji telur itik setiap bulan yang mana setakat ini mereka berjaya menghasilkan 1.2 juta telur itik sejak mula beroperasi enam tahun lalu dengan hanya menternak 18 ekor itik dan kini mencecah 4,000 ekor.
Lawatan yang diketuai oleh empat orang pemandu pelancong DHSB itu sememangnya sebagai salah satu inisiatif DHSB untuk mengetengahkan orang ramai dalam industri penternakan dan pertanian tempatan sekali gus membuka minda bersama untuk menceburi bidang keusahawanan.
Dalam pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk bersama-sama membantu perekonomian masyarakat setempat menerusi penjualan produk-produk tempatan mereka.
