Dedah belia ceburi bidang pertanian

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Untuk mendedahkan perusahaan pertanian sebagai satu perniagaan menguntungkan khususnya dalam bidang industri tanaman menggunakan sistem teknologi tinggi bagi meningkatkan hasil keluaran pertanian, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan mengungkayahkan Program Pendedahan Belia-belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi ke-6.

Program secara maya itu dijalankan sepanjang Disember bermula hari ini dan dijalankan setiap Selasa dan Khamis sehingga 30 Disember depan. Menurut kenyataan KSSUP, program berkenaan dibahagikan kepada sesi taklimat dan sesi lawatan ke ladang-ladang syarikat pengusaha tempatan dengan memberikan fokus kepada beberapa sistem dan teknologi pengeluaran yang bersesuaian dengan kemampuan para peladang belia.

Antara topik taklimat yang akan disampaikan adalah latihan penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan tidak bermusim dengan menggunakan teknologi tinggi seperti teknik penanaman sistem fertigasi, latihan pengurusan kewangan dan juga peluang-peluang pelaburan di bidang industri tanaman.

Sesi taklimat akan disampaikan oleh Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Masliana Yuliah binti Abdullah serta pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Kenyataan menyatakan, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif dalam mendukung Pelan Strategik Jabatan Pertanian dan Agrimakanan 2016-2022, yang berkaitan dengan usaha untuk meningkatkan keluaran sektor pertanian. Melalui program berkenaan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan cuba untuk menarik minat belia-belia termasuk lepasan institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan melibatkan dukungan keluarga masing-masing dari segi modal, untuk menggalakkan anak-anak mereka menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Bagi menjayakan program berkenaan, ia turut melibatkan kolaborasi Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bersama agensi-agensi kerajaan lain dan institusi-institusi kewangan yang berkenaan.

Antara yang menghadiri Program Pendedahan Belia-belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi ke-6 secara maya. – Gambar serahan KSSUP