Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Permainan tradisi masyarakat Brunei harus diberikan pendedahan khususnya di kalangan generasi muda dalam usaha untuk memastikan khazanah tradisi itu tidak akan pupus ditelan zaman.
Ke arah itu, Sekolah Rendah Rimba I telah mengadakan Majlis Taklimat dan Demonstrasi Permainan Tradisional Brunei yang berlangsung di Dewan Perpaduan sekolah berkenaan, kelmarin.
Taklimat dan demonstrasi yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Muzium Brunei, Jabatan Muzium-muzium itu mengetengahkan pelbagai jenis permainan tradisional Brunei seperti permainan Pasang, Congkak dan bermain getah.
Semasa sesi taklimat berkenaan, murid-murid juga berpeluang untuk membeli buku-buku yang diterbitkan oleh Jabatan Muzium-muzium.

Menurut pihak sekolah, acara taklimat dan demonstrasi itu dihasratkan untuk memberikan pengetahuan kepada murid-murid sekolah mengenai Muzium Brunei.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi memberikan pendedahan kepada mereka mengenai permainan-permainan tradisional Brunei yang masih dimainkan pada masa ini serta untuk turut serta bermain permainan tradisi Brunei.
Acara berkenaan merupakan salah satu kegiatan tahunan Unit Ko-Kurikulum sekolah berkenaan sebagai kegiatan hari terakhir penggal persekolahan pertama sebelum cuti persekolahan bermula.