Dedah kakitangan kepada keselamatan kebakaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 10 orang kakitangan daripada Syarikat Sivli Sdn Bhd mengikuti Kursus Marsyal Bomba yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 November di Balai Bomba Bandar Seri Begawan dan dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi A, Jabatan Bomba dan Penyelamat
(JBP).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, sepanjang kursus itu, para peserta telah didedahkan me-ngenai pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal dengan mempelajari akan sebab dan punca berlakunya kebakaran, mengetahui tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara bersistematik serta menjalani praktikal bagi penggunaan alat-alat pemadam api dengan cara yang betul dan tatacara untuk menyelamatkan diri dari terperangkap di dalam bangunan jika berlakunya kebakaran.

Mereka juga berkesempatan untuk membuat lawatan ke Unit Operasi Wanita untuk mengetahui lebih dekat akan fungsi dan peranan Ahli Bomba Wanita serta diberikan peluang melihat perkakas-perkakas dan peralatan bomba.

Para peserta kursus berkesempatan bergambar ramai di hadapan jentera bomba. – Gambar serahan JBP