Dedah pelajar kepada dunia fotografi

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 14 April – Sebagai pendedahan kepada murid-murid untuk berminat dalam sesi fotografi dan dapat menjadikannya sebagai hobi mereka, Sekolah Rendah Keriam melalui persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) telah mengadakan Bicara Ilmu Fotografi yang berlangsung di dewan Galaxi sekolah berkenaan, kelmarin.

Majlis dipengerusikan bersama oleh guru besar sekolah, Dayang Norrafah binti Haji Jait dan Pengerusi PIBG, Haji Shahrul Azrimin bin Haji Bidin.

Bicara Ilmu Fotografi tersebut telah menjemput jurugambar profesional daripada Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD), Haji Jinnidi bin Haji Mahali yang mempunyai pengalaman luas dan pernah empat kali menjuarai ‘Best Photography of the Year’ anjuran PFNBD.

Pada majlis itu, Haji Jinnidi juga mempamerkan karya-karyanya dan memberi peluang kepada pelajar-pelajar menggunakan beberapa alat penggambaran beliau dalam mengajar teknik menggambar yang betul dan mengeluarkan hasil gambar yang cantik.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kenang-kenangan yang disampaikan oleh Dayang Norrafah kepada Haji Jinnidi selaku wakil daripada PFNBD.

Acara berkenaan antara lain bertujuan sebagai salah satu perisian aktiviti PIBG Sekolah Rendah Keriam bagi 2019 di samping untuk mencungkil kreativiti dan bakat murid-murid dalam peraduan fotografi yang akan diadakan pada masa akan datang.

Salah seorang pelajar mencuba cara mengambil gambar dengan tepat pada acara itu, kelmarin.