Dedah pelajar tentang peranan BKKT

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Dengan hasrat untuk memberi pendedahan kepada penuntut mengenai fungsi dan peranan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong (BKKT) dalam mempergiatkan aktiviti dan produk pelancongan di Daerah Tutong, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) menganjurkan taklimat mengenai badan berkenaan, baru-baru ini.

PTES telah menjemput Ketua Pegawai Eksekutif BKKT, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali dan pegawai-pegawainya untuk mengongsikan mengenai penubuhan dan peranan badan berkenaan dalam industri pelancongan di Negara Brunei Darussalam.

Majlis taklimat itu dihadiri oleh pensyarah-pensyarah dari Jabatan Travel And Tourism serta pelajar-pelajar tingkatan enam atas dan enam bawah yang mengambil mata pelajaran berkenaan.

Menurut kenyataan yang diberikan, taklimat juga dihasratkan sebagai input dalam pembelajaran khasnya berkaitan dengan peranan dan keutamaan organisasi-organisasi dalam mengurus dan memajukan industri pelancongan di sesebuah destinasi.

Awang Muhammad Amir dalam taklimatnya turut menerangkan mengenai usaha-usaha yang dilaksanakan dan warisan budaya Daerah Tutong sebagai tarikan kepada pelancong.

Antara pelajar yang menghadiri taklimat mengenai BKKT di PTES, baru-baru ini. – Gambar serahan PTES