Dedah pengusaha belia ASEAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Negara Brunei Darussalam melalui Unit Antarabangsa dan Serantau, Bahagian Belia, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menghantar 15 orang peserta untuk ikut serta dalam Program Keusahawanan Belia China-ASEAN yang diadakan secara dalam talian bermula kelmarin hingga esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KKBS, para peserta menyertainya secara dalam talian di rumah masing-masing dan sebahagiannya di Dewan Muasyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Program yang diadakan oleh All-China Youth Federation dengan kerjasama China Youth Daily, China (Guangxi) International Youth Exchange Institute, KAB National Promotion Office itu membawa tema Seize the Developing Opportunities and Work Together for a Shared Future dan mengumpulkan lebih 80 orang peserta yang terdiri dalam kalangan pengusaha belia dari negara-negara ASEAN.

Kenyataan menyatakan, semasa program tersebut, para peserta telah diberikan penerangan mengenai perkembangan, strategi dan analisis dalam perniagaan, kaedah penambahbaikan produk-produk perniagaan untuk disesuaikan kepada generasi masa kini serta perkongsian ilmu keusahawanan melalui Cloud Lectures secara maya.

Selain itu, para peserta turut didedahkan tentang kebudayaan dan sumbangan China kepada negara-negara ASEAN dari segi pembangunan dan perkembangan perekonomian.

Program juga antara lain berobjektif bagi memberikan pendedahan kepada belia dari negara-negara ASEAN khususnya kepada pengusaha golongan belia bagi menambah dan bercambah ilmu pengetahuan dalam bidang tersebut dalam sama-sama membangunkan perekonomian negara masing-masing serta berkongsi pendapat sesama para peserta.

Antara pengusaha belia ASEAN yang menyertai program secara dalam talian itu. – Gambar serahan KKBS