Dedahkan kakitangan kepada keselamatan kebakaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Dengan matlamat untuk memberikan pendedahan mengenai dengan punca-punca kebakaran dan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam cara menyelamatkan diri daripada kecemasan kebakaran, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, mengadakan Taklimat Keselamatan Umum, Life Saver 995 kepada pegawai dan kakitangan Sphere Secure Services (S3) yang diadakan di Bangunan S3, Jerudong baru-baru ini

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, taklimat itu dihadiri oleh seramai 43 orang pegawai dan kakitangan S3.

Semasa taklimat itu, mereka diberikan pendedahan punca-punca kebakaran, cara menyelamatkan diri daripada kecemasan kebakaran, semasa cuaca ribut petir dan semasa terperangkap dalam arus deras. Mereka juga diajar secara praktikal cara-cara mengangkat mangsa semasa kecemasan, pengosongan bangunan dan cara menggunakan alat pemadam api yang betul serta selimut api.

Pegawai dan kakitangan S3 diajar secara praktikal penggunaan alat pemadam api dengan betul semasa Taklimat Life Saver 995 di Bangunan S3, Jerudong pada 23 November lalu. – Gambar serahan JBP