Dedikasi bantu masyarakat mendapat pengiktirafan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Bank Islam Brunei Darussalam, baru-baru ini, telah menerima dua anugerah bagi kepimpinan, inovasi dan kecemerlangan dan Perbankan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan dedikasi terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

BIBD dalam kenyataannya di sini, hari ini, menyatakan bahawa anugerah Bank PKS Terbaik Brunei 2020 dan Bank CSR Terbaik Brunei 2020 diberikan oleh penerbit Global Banking & Finance Review.

Anugerah-anugerah berkenaan mengiktiraf fokus BIBD dalam menyampaikan penyelesaian komprehensif yang menjadikan perbankan lebih efisien, berkesan kos dan sedia diakses bagi klien-klien PKS serta mewujudkan sokongan jangka panjang dan perubahan mapan menerusi pendidikan, komuniti dan pembangunan perusahaan tempatan.

Penyunting Global Banking & Finance Review, Wanda Rich dipetik sebagai berkata, “BIBD komited kepada menyokong PKS dan masyarakat di mana mereka beroperasi.

“Visi strategik, pelaburan berterusan dalam teknologi, penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan inovatif dan komitmen kepada pembangunan sosioekonomi di Brunei adalah apa yang menjadikan mereka menyerlah sebagai pemenang pada tahun ini,” tambah beliau.

BIBD telah menerima dua anugerah yang diberikan oleh penerbit Global Banking & Finance Review.- Gambar serahan BIBD

Sementara itu, Ketua Perbankan Korporat BIBD, Koh Swam Sing pula dipetik berkata, “Kami berbesar hati untuk menerima anugerah ini. Ini tidak akan dicapai tanpa sokongan dan kepercayaan penuh daripada klien-klien, stakeholder dan pengurusan bank.

“Anugerah ini berfungsi sebagai pemangkin bagi kami untuk berusaha lebih keras dan pastinya, akan memperbaiki perkhidmatan kami kepada klien-klien kami, kepada komuniti perniagaan dan kepada negara. Kami komited untuk mengukuhkan sokongan kami kepada inisiatif-inisiatif kerajaan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035,” tambah beliau.

Kenyataan menjelaskan, dalam memenangi anugerah Bank CSR Terbaik Brunei 2020, BIBD diiktiraf atas dedikasinya untuk membantu masyarakat di Brunei berkembang dan menjadi bebas dari segi kewangan menerusi keusahawanan dan pendidikan baik.

Salah satu inisiatif CSR penting BIBD adalah BIBD ALAF yang telah menjadi program utama sejak permulaannya pada 2013 dan telah disertai seramai 240 orang pelajar setakat Januari 2020.

Sementara itu, BIBD SEED pula adalah inisiatif yang memenangi anugerah, bertujuan untuk meningkatkan mata pencarian ibu-ibu yang kurang bernasib baik di Brunei dengan membangunkan dan mentransformasikan mereka menjadi usahawan yang mampu bersaing dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, apabila pandemik COVID-19 membantutkan aktiviti ekonomi Brunei dan seluruh dunia, BIBD telah tampil memperkenalkan satu inisiatif dikenali sebagai ‘Community for Brunei’, kolaborasi bersama perusahaan-perusahaan tempatan dan perusahaan sosial.

Inisiatif berkenaan menyediakan pasar maya, mengetengahkan aktiviti sosial dan amal berlainan di Brunei dan membolehkan orang ramai menyokongnya dengan membeli daripada perusahaan mikro dan kecil tempatan.

Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa BIBD dipilih sebagai pemenang kedua-dua anugerah berkenaan disebabkan prestasi dan pencapaian cemerlang dan dengan mencatat skor baik dalam kategori-kategori pelaburan dalam teknologi untuk memperbaiki pengalaman pengguna; pasukan pengurusan perhubungan yang dedikasi; produk inovatif dan pembangunan perkhidmatan bagi pelanggan PKS; komitmen berterusan untuk memperbaiki pengalaman dan akses pelanggan; serta komitmen kepada pembangunan PKS dan masyarakat.