Dedikasi, komitmen kerjasama Pendidikan China-ASEAN

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN 2021 yang diadakan secara maya hari ini merupakan landasan kerajaan yang memainkan peranan aktif dalam mempromosikan kerjasama pendidikan dan people-to-people exchange antara Republik Rakyat China dan negara anggota ASEAN yang menyumbang ke arah pembinaan Inisiatif Belt and Road.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman telah menghadiri acara berkenaan di mana beliau menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China telah lama menjalinkan hubungan yang baik dan kerjasama yang erat terutama dalam bidang pendidikan.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China telah mewujudkan pelbagai kerjasama antara institusi pendidikan, dan sektor-sektor lain, mengenai hal-hal yang berhubung dengan pendidikan tinggi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, dan pelbagai inisiatif dan program yang lain.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga mengucapkan tahniah kepada Republik Rakyat China bagi menerajui acara penting berkenaan, yang membuktikan dedikasi dan komitmen Republik Rakyat China dalam memajukan pendidikan melalui perkaitan yang saling diperlukan.

Dianjurkan setiap tahun sejak 2008, acara berkenaan diadakan di Wilayah Guizhou, Republik Rakyat China, melalui kaedah fizikal dan dalam talian di mana ia dihoskan oleh Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China serta kerajaan Rakyat Wilayah Guizhou.

Antara yang menghadiri majlis tersebut ialah menteri-menteri pendidikan, menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin dari Republik Rakyat China dan negara anggota ASEAN, serta Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi.

Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad serta pegawai-pegawai dari kementerian berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menghadiri acara Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN 2021 yang diadakan secara maya kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan