Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan SM PJNPHAB
Semua impian boleh menjadi kenyataan jika kita mempunyai keberanian untuk mengejarnya dan tabah mengatasi segala kesusahan.
Kita boleh mempunyai impian dan rancangan, tetapi apa yang perlu difahami bahawa kejayaan itu bergantung kepada faktor-faktor tertentu.
Antara faktor berkenaan ialah dari segi kualiti keputusan yang kita buat dan juga peluang yang diperoleh termasuklah kelayakan kerjaya bersesuaian dengan cita rasa yang penuh positif, dan juga kesihatan yang baik.
Perkara itu antara yang dikongsikan oleh Pengetua, Pusat Tingkatan Enam Belait (PTEB), Chin Ai Fong selaku tetamu kehormat majlis semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Tamat Pengajian Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (SM PJNPHAB) bertempat di dewan serbaguna, sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Sahut impian bersama kesungguhan jiwa
Dalam pada itu, Chin Ai Fong juga mengemukakan kejayaan akan bergantung kepada bagaimana kita memanfaatkan bakat dan kualiti peribadi dengan sebaik-baiknya.
Perlunya seseorang itu mengetahui akan kemahiran yang dimilikinya untuk menyerlahkan bakat yang ada.
Kualiti peribadi itu seperti mempunyai sikap positif, bercita-cita tinggi, komited dan berdedikasi, bersiap sedia, dan memiliki rasa tanggungjawab dalam tugasan yang ditanai serta boleh dipercayai.
“Mungkin yang paling penting, bersedia untuk belajar daripada pengalaman. Apa yang perlu diketahui bahawa orang yang tidak pernah membuat kesilapan, tidak pernah membuat apa-apa. Tetapi jangan ulangi kesilapan yang sama dua kali,” tekannya.
Di samping itu, kejayaan atau kelangsungan hidup juga adalah mengenai penggunaan semua pengetahuan dan kemahiran yang kita miliki untuk meningkatkan peluang kejayaan dan juga mendapatkan hasil yang terbaik.
Guru sumber inspirasi anak didik
Beliau juga menyentuh bahawa seorang guru yang baik mampu memberi inspirasi kepada anak bangsa untuk menjadi insan-insan yang penuh bersemangat dan beriltizam.
Begitu juga guru yang baik memerlukan kemahiran yang tepat bagi mencurahkan pengetahuan terbaik kepada anak-anak didik mereka.
Tambahnya, dalam usaha kita mengangkat aspirasi guru dan pelajar, maka begitu penting kita memperkasa penyediaan persekitaran dan peralatan yang terbaik untuk bersiap siaga berdepan dengan cabaran pendidikan dunia moden kini dengan memanfaatkan teknologi bersama sebaik-baiknya.
Pengiktirafan pencapaian dirai
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan bagi meraikan pencapaian para pelajar dalam Peperiksaan GCE O Level dan Student Progress Assessment (SPA) bagi tahun 2021, yang disempurnakan oleh Chin Ai Fong.
Seramai 90 orang pelajar yang berjaya memperoleh keputusan lima kredit ke atas dalam Peperiksaan GCE O Level yang mana lima orang daripadanya terpilih sebagai anugerah pencapaian terbaik bagi subjek-subjek dalam penilaian School Assessed Grade (SAG) 2021.
Sementara itu enam orang pelajar pula terdiri daripada pelajar terbaik dalam SPA. Anugerah sumbangan khas dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM PJNPHAB turut diberikan kepada empat orang pelajar yang diraikan.
Manakala seramai 63 orang guru juga diraikan dengan menerima sijil penghargaan terdiri daripada 40 orang tenaga pengajar bagi Peperiksaan GCE O Level dan 23 orang lagi selaku guru bagi SPA.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Kluster 6, Jabatan Sekolah-sekolah, Dayang Halizawati binti Haji Kepli; Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Shim Sheau Huei; dan Pengerusi PIBG SM PJNPHAB, Awang Iskandar bin Alias.
Dengan adanya majlis sedemikian, adalah menjadi harapan tulus semua pihak warga sekolah dan juga para ibu bapa atau penjaga agar ia dapat menjadi sinar tauladan dan menjentik semangat pelajar-pelajar Tahun 11 yang bakal menduduki Peperiksaan GCE O Level pada tahun ini supaya terus berusaha lebih gigih meningkatkan prestasi akademik dengan cemerlang.