WAKISO, UGANDA – “Ni hao,” pelajar di Kitoro, sebuah perkampungan kecil di tepi Tasik Victoria di daerah tengah Wakiso di Uganda bersuara ketika mereka menjawab sapaan daripada guru bahasa Cina mereka, Florence Nakijoba.
Bisikan pelajar yang lalu-lalang, meniru rakan sebaya mereka, menunjukkan gelombang baharu anak muda di sekolah itu yang bersemangat untuk mempelajari bahasa Cina, bahasa asing terbaharu yang dimasukkan dalam kurikulum sekolah oleh kerajaan pada 2019.
Nakijoba, 26, telah menjadi penyokong arus gelombang ini di Sekolah Menengah Komprehensif Entebbe, salah sebuah sekolah kerajaan yang dipilih untuk mengajar bahasa Cina.
“Saya sentiasa mahu menjadi ahli bahasa, mempelajari bahasa yang berbeza dan bahasa Cina adalah salah satu daripadanya,” katanya kepada Xinhua dalam temu bual baru-baru ini.
Nakijoba mengajar Luganda dan pengajian komputer pada 2019, sebelum dia mengikuti kursus latihan selama sembilan bulan dalam pengajaran bahasa Cina ketika kerajaan memperkenalkan bahasa Mandarin dalam kurikulum sekolah.
“Saya merasa sangat takut pada mulanya, tetapi lama-kelamaan saya sudah biasa dengan bahasa itu,” katanya. “Menjelang akhir sembilan bulan, saya telah mencapai tahap empat.”
Dalam kelasnya yang mempunyai kira-kira 90 pelajar, Nakijoba mengajar intonasi, nahu dan pembinaan ayat bahasa Mandarin.
Kelas yang dianggotai oleh pelajar-pelajar di awal usia remaja mereka masih di peringkat rendah mempelajari bahasa tersebut.
Beberapa pelajar mengatakan mempelajari bahasa Cina adalah salah satu cara untuk meluaskan peluang mereka, terutama apabila negara Asia itu mengeratkan hubungannya dengan Afrika.
Charles Bwebale, salah seorang pelajar, berkata bahasa berbilang meluaskan peluang seseorang.
“Kami dengar China adalah antara negara yang berjaya di dunia, jadi apabila awda mengenali orang Cina, awda boleh berhubung dengan mereka, awda boleh berniaga (dengan orang Cina),” katanya.
Ephraim Muwonge, timbalan guru besar sekolah itu, memberitahu Xinhua bahawa ibu bapa telah menerima anak-anak mereka mempelajari bahasa Cina, salah satu cara yang pasti untuk mengeratkan hubungan rakyat dengan rakyat antara Uganda dan China.
“Kita patut ajar bahasa Cina,” katanya. “Pada akhirnya, kita akan mendapat manfaat.”
Nakijoba telah mengembangkan pengajaran bahasa Cina di luar kawasan sekolah, menawarkan pembelajaran dalam talian untuk sesetengah pelajar.
Beliau berkata pembelajaran dalam talian mencapai tahap kemuncaknya semasa perintah berkurung tahun lalu ketika negara bergelut dengan pandemik COVID.
Ramai ibu bapa membenarkan anak-anak mereka mengikuti program pembelajaran bahasa Cina dalam talian.
Satu kemuncak utama tunjuk ajar bahasa Cinanya berlaku pada awal tahun ini, kata Nakijoba, apabila dia ditugaskan untuk mengajar lagu-lagu Cina kepada pemuzik Uganda yang sedang bersiap untuk persembahan Tahun Baharu Cina.
Balik ke rumah, adik-beradik dan ibu bapa Nakijoba teruja kerana dia bercakap dan mengajar bahasa Cina.
“Ibu bapa saya, sehingga kini, masih tidak percaya saya boleh berbahasa Cina,” katanya. – Xinhua