Monday, December 2, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dedikasi wira berjasa melalui mural gergasi

    KUALA LUMPUR – “Karya ini adalah sebagai tanda terima kasih daripada rakyat Malaysia kepada pemimpin dan petugas barisan hadapan di atas pengorbanan mereka dalam usaha mengekang penularan COVID-19,’’ kata pelukis mural, Abdulrashade atau nama sebenarnya, Abdul Rashid Abdul Raman, 36.

    Pemilik Abdulrashade Studio ini adalah seorang daripada pelukis mural yang terlibat dalam menghasilkan mural gergasi yang memaparkan pemimpin dan kumpulan petugas barisan hadapan dengan menjadikan permukaan dinding Klinik Kesihatan Kuala Lumpur sebagai kanvas utama.

    Mural gergasi bersaiz 2,500 kaki persegi itu dibahagikan kepada dua, mula dilukis pada 22 September dan siap sepenuhnya pada 10 Oktober lepas dengan menggunakan 40 tin cat semburan dan 10 tin cat bersaiz lima liter.

    Ia merupakan program anjuran Balai Seni Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai usaha membantu mengerakkan kembali aktiviti seni visual tanah air dan pemain industrinya.

    Mengulas lanjut, Abdul Rashid dalam menterjemah hasil tangannya yang bertajuk ‘Rasa’ berkata ia memberi gambaran mengenai perasaan wira-wira negara yang tidak didendang ini, yang menjadi ‘benteng’ untuk membendung penularan wabak berkenaan.

    Lukisan Mural Gergasi dilukis sebagai cara mengekspresikan rasa terima kasih kepada pemimpin negara dan petugas barisan hadapan semasa wabak COVID-19.- Bernama
    Orang ramai mengambil kesempatan mengambil gambar swafoto dengan mural gergasi tersebut.- Bernama

    “Kekuatan karya saya terletak pada imej seorang jururawat dengan wajah dan mata yang pegun bagi menggambarkan betapa beratnya tanggungjawab yang harus dipikul demi kesenangan semua pihak.

    “Ia pastinya terasa sayu dan pilu apabila terpaksa meninggalkan keluarga demi tugasan dan tanggungjawab kepada negara,” katanya kepada Bernama.

    Menurutnya, lukisan mural yang dihasilkannya itu melalui pelbagai kajian dan rujukan yang antaranya menerusi tulisan dan kata-kata semangat atau mesej pada set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) sehingga menjadi tular di media sosial.

    Katanya secara tidak langsung ia memberinya inspirasi dalam menggambarkan imej yang bermain di minda seterusnya diterjemahkan di dinding sebagai kanvas.

    “Sebagai contoh, imej seorang ibu memandang wajah anaknya dengan penuh kasih sayang selain paparan wanita tua dan pekerja penghantaran makanan,” katanya yang berpengalaman dalam bidang seni sejak tahun 2003 lagi.

    Seorang lagi pelukis mural yang terlibat dalam program ini adalah Yaulacap atau nama sebenarnya Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, 29, yang menampilkan lukisan mural wajah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di bawah karya yang bertajuk ‘We Are Strong Together’.

    “Pemilihan subjek dalam lukisan ini adalah imej-imej yang selalu kita lihat di kaca televisyen sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas. Setiap hari, kita sebagai rakyat pasti tertunggu-tunggu mereka mengumumkan mengenai bilangan kes harian selain selalu dinasihatkan supaya duduk di rumah,” kata pemilik Yaulacap Enterprise itu.

    Dhiyaul Mohamad Ashraf yang juga pelukis sepenuh masa memberitahu lukisan mural yang dihasilkannya itu merupakan satu bentuk dokumentasi sejarah pada dinding khas untuk tatapan ramai.

    “Ini antara cara saya mengekspresikan rasa terima kasih kepada pemimpin negara dan barisan hadapan kerana semasa wabak COVID-19 mula-mula melanda negara, mereka inilah yang tidak menang tangan untuk memastikan wabak tersebut tidak terus menjangkiti rakyat,” katanya, menambah kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi mengatasi krisis tersebut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda