LONDON, 1 Feb – Dua gol masing-masing dihasilkan oleh Younes Kaboul dan Troy Deeney telah memberikan tamparan hebat pada harapan kejuaraan Arsenal apabila Watford muncul sebagai pemenang dalam aksi Liga Perdana dengan keputusan 1-2 awal pagi tadi.
Alex Iwobi berjaya menjaringkan satu gol bagi tuan rumah tetapi mereka gagal mendapatkan gol seterusnya bagi sekurang-kurangnya gol penyamaan. Kekalahan itu telah menyebabkan mereka ketinggalan sembilan mata dengan pendahulu liga, Chelsea, yang akan dihadapi oleh skuad Gunners hujung minggu ini.
Pasukan pelawat, yang berada lapan mata di atas zon penyingkiran, memperoleh pendahuluan melalui sepakan percuma Kaboul.
Dia memilih untuk merembat kencang dan rembatannya itu menuju ke sudut bawah apabila ia terkena belakang pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey yang menyebabkan Petr Cech tersilap langkah.
Arsenal mendapati diri mereka ketinggalan 0-2 tiga minit kemudian.
Etienne Capoue merampas bola daripada penguasaan Arsenal dan meluru melepasi dua pemain Gunners, Francis Coquelin dan Skhodran Mustafi.
Rembatannya telah ditepis oleh Cech tetapi melantun ke arah Deeney yang tidak mensia-siakan peluang bagi jaringan kedua Watford.
Situasi semakin buruk bagi Arsenal apabila kecederaan Ramsey telah memaksanya digantikan oleh Alex Oxlade-Chamberlain di minit ke-20.
Watford mencipta lebih banyak peluang baik.
Capoue sekali lagi membuat larian melepasi beberapa orang pemain sebelum membuat hantaran lintang kepada Sebastian Prodl yang memaksa Cech membuat penyelamat.
Cech kemudian membuat penyelamatan yang lebih baik tidak lama selepas itu, secara akrobatik menepis keluar percubaan Daryl Janmaat.
Wenger, di mana pemainnya telah diejek di separuh masa pertama, telah memasukkan Theo Walcott di separuh masa kedua.
Dan kebuntuan akhirnya berjaya ditembusi di minit ke-58. Alexis Sanchez yang tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama, membuat gerakan di tepi garisan dan kemudian memberikan hantaran lambung yang disambut oleh Iwobi.
Watford bergelut untuk mengurangkan tekanan. Dan mereka menjadi lebih terdesak ketika bertahan, Prodl telah diberikan kad kuning kerana menjatuhkan Sanchez di atas permukaan padang yang basah.
Bagaimanapun, Arsenal dilihat telah mensia-siakan beberapa peluang keemasan, antaranya sepakan Gabriel melayang tinggi ke atas.
Pemain gantian, Lucas Perez nyaris menjaringkan gol penyamaan dengan perlawanan berbaki lima minit. – AFP