Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 8 Mei – Seramai enam orang peserta yang terdiri daripada pelajar pengajian tinggi (Politeknik Brunei) dan profesional belia telah menyertai Pertandingan Present Around The World (PATW) 2017 anjuran Institusi Kejuruteraan dan Teknologi (IET) Brunei Darussalam.
Pertandingan yang berlangsung di Teater Kuliah, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Brunei, Kampus Lumut di sini, hari ini, itu telah dijuarai oleh Supatra Lee dengan pembentangannya yang bertajuk ‘Deep Packet Inspection’.
Beliau membawa pulang wang tunai $300 berserta sijil dan hadiah yang telah disampaikan oleh Pengerusi IET Brunei Darussalam, Awang Simon Leong.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Dayang Diyana Raudhah binti Shahminan dengan pembentangan bertajuk ‘Reality Augmented’ dan menerima wang tunai $200 berserta sijil.

Pemenang-pemenang rangkaian tempatan itu akan mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Pertandingan PATW 2017, di IET Asia Pasifik yang akan berlangsung di Auckland, New Zealand pada Ogos ini.
Pertandingan PATW merupakan pertandingan kemahiran yang dibukakan bagi individu berusia antara 18 hingga 30 tahun dengan setiap peserta membentangkan topik berkaitan dengan kejuruteraan dan teknologi.
Ia antara lain bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dalam menyampaikan maklumat teknikal dan penekanannya lebih kepada kemahiran pembentangan dan bukannya kandungan teknikal.