Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Deepavali disambut meriah

    KUALA LUMPUR, 24 OKT – Perayaan Deepavali hari ini diraikan dengan meriah dan penuh kegembiraan dalam suasana sambutan yang dilihat kembali seperti sebelum pandemik COVID-19. 

    Selepas dua tahun perayaan itu disambut secara sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19, penganut agama Hindu kini dapat melakukan upacara sembahyang beramai-ramai di kuil dan menganjurkan rumah terbuka. 

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memeriahkan Deepavali dalam semangat Keluarga Malaysia dengan menghadiri rumah terbuka di kediaman Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran di Kota Kemuning, Shah Alam serta kediaman Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan di Bukit Damansara di sini hari ini.

    Tinjauan di beberapa kuil di seluruh negara mendapati penganut Hindu mula mengunjungi kuil seawal 5 pagi bagi melakukan upacara sembahyang dengan pakaian berwarna-warni.

    Dalam pada itu, Pengerusi Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, Raja Selan, 57, menjangkakan 3,000 orang mengunjungi kuil berusia 111 tahun di Johor Bahru, Johor itu hari ini, berbanding hanya 100 hingga 150 orang pada satu-satu masa mengikut SOP sebelum ini.

    Kemeriahan sambutan pesta cahaya itu turut dirasai warga Switzerland, Edward McCulhy, 38, yang mengunjungi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini.

    “Saya baru tiba di sini (Malaysia) beberapa hari lepas dan apa yang boleh saya katakan, Malaysia sangat menarik dan berwarna-warni dengan makanan, masyarakat serta perayaannya. Ini peluang untuk saya merasai pengalaman meraikan Deepavali,” katanya yang sedang bercuti di Malaysia selama dua minggu. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (duduk, tengah) menghadiri rumah terbuka Deepavali Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda