Defendan alami masalah ingatan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Lelaki warga emas yang terlibat dalam kes berkaitan pembunuhan anak anjing, mengalami masalah ingatan merosot dan fungsi kognitif yang lemah.

Perkara ini dimaklumkan oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff berkata, laporan terhadap Haji Mohd Tahir bin Haji Nudin disediakan oleh seorang ahli psikologi klinikal.

Defendan berdepan dakwaan dengan kesalahan melakukan khianat terhadap haiwan di bawah Seksyen 428 Kanun Hukuman Jenayah.

Peguam Rozaiman Abdul Rahman yang mewakili defendan, telah menyerahkan pernyataan kepada pihak pendakwaan sebelum pendengaran semalam. Pihak pendakwaan perlu mempertimbangkan perkara berkenaan berdasarkan pernyataan tersebut.

Majistret Hajah Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menangguhkan kes sehingga 29 Jun depan.