WASHINGTON, 2 JULAI – Ekonomi Amerika Syarikat (AS) pulih lebih cepat daripada yang diramalkan sebelumnya, tetapi kerajaan negara itu bakal berdepan dengan kadar defisit yang diramalkan akan mencecah AS$3 trilion lagi tahun ini, kata Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) kelmarin.
Defisit sedikit lebih rendah daripada tahun fiskal 2020, tetapi lebih tinggi daripada yang diramalkan dalam anggaran CBO pada bulan Februari berikutan program rangsangan besar-besaran yang dipersetujui pada bulan Mac dengan jumlah yang diperuntukkan meningkat tiga kali ganda berbanding tahun 2019.
Dari segi ukuran ekonomi, defisit tahun ini diramalkan berjumlah 13.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjadikannya yang ke-dua tertinggi sejak tahun 1945, menurut sebuah agensi dalam pengemaskinian terbaharunya.
Sementara itu, hutang persekutuan diunjurkan meningkat menjadi AS$23 trilion – hampir 103 peratus daripada KDNK, kata laporan itu.
Tetapi dengan lonjakan permintaan pengguna dan peningkatan pekerjaan pada separuh kedua tahun ini, CBO mengunjurkan ekonomi akan berkembang sebanyak 6.7 peratus menjelang tahun ini – dua peratus lebih tinggi daripada laporan Februari.
KDNK dijangka meningkat 5 peratus pada tahun 2022. Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pakej rangsangan bernilai hampir AS$4 trilion yang dilaksanakan pada bulan Mac yang bertujuan untuk membantu individu dan perniagaan yang terjejas akibat sekatan COVID-19. – AFP