Defisit belanjawan AS meningkat AS$2.81 trilion

SILVER SPRING, 13 OGOS – Defisit belanjawan Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada AS$2.81 trilion dalam 10 bulan pertama tahun belanjawan, mengatasi mana-mana rekod, kata Jabatan Perbendaharaan semalam.

Kekurangan belanjawan negara dijangka mencecah tahap untuk tahun fiskal yang berakhir September sebanyak 30 kali lebih daripada defisit tahunan terbesar yang dicatat.

Kerajaan persekutuan mencatat defisit berjumlah AS$63 bilion pada Julai, lapor jabatan. Ia merupakan jumlah yang sederhana berbanding dengan defisit yang dicatat pada bulan-bulan musim bunga apabila kerajaan cuba memulihkan ekonomi yang lumpuh disebabkan wabak koronavirus.

Defisit pada bulan lalu adalah lebih rendah berbanding AS$964 yang dicatat pada Jun, sebahagiannya disebabkan kerajaan mengumpul pendapatan cukai yang besar pada Julai – AS$563 bilion – selepas melanjutkan tarikh akhir kepada 15 Julai. Pelanjutan itu memberikan warga Amerika lebih banyak masa untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dicetuskan oleh pandemik.

Perbelanjaan oleh Pentadbiran Perniagaan Kecil, yang memperuntukkan AS$511 bilion sebagai sebahagian daripada Program Perlindungan Gaji pada bulan Jun, merosot kepada AS$26 bilion pada Julai.

Pada bulan lalu, kerajaan melaporkan keluaran dalam negara kasar merosot pada kadar tahunan 32.9 peratus dalam suku April hingga Jun, tatkala wabak virus mendesak perniagaan ditutup untuk kali kedua di beberapa rantau negara. – AP

Gambar fail menunjukkan bendera Amerika berkibar di Capitol Dome di Washington. Defisit belanjawan AS meningkat kepada AS$2.81 trilion dalam 10 bulan pertama tahun belanjawan, kata Jabatan Perbendaharaan kelmarin. – AP