Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Delegasi Brunei hadiri mesyuarat ASEAN BAC di Indonesia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Ahli-ahli Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Brunei telah menghadiri Majlis Penyerahan Pengerusi, Mesyuarat ASEAN BAC ke-95 dan Mesyuarat JBC ke-21 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ASEAN BAC Brunei, di sini, hari ini, majlis dan mesyuarat berkenaan dihadiri oleh delegasi daripada sektor swasta dari 10 buah negara ASEAN dan rakan-rakan kongsi ASEAN secara bersemuka.

    ASEAN BAC dengan sokongan KADIN Indonesia dan pihak-pihak berkaitan yang lain telah menghoskan majlis dan mesyuarat-mesyuarat berkenaan yang disertai oleh kira-kira 100 delegasi.

    Selaras dengan tema Pengerusi ASEAN, Indonesia iaitu ASEAN Matters: Epicentrum of Growth, tema bagi tahun pengerusi ASEAN BAC Indonesia adalah ASEAN Centrality: Innovating Towards Greater Inclusivity, di mana centrality meletakkan ASEAN di tengah-tengah reka bentuk ekonomi global merupakan kunci, inovasi adalah idea-idea konstruktif dan inovatif untuk menyelesaikan masalah-masalah serantau, serta keterangkuman adalah penglibatan aktif dengan pelbagai pemain sebagai sebuah entiti serantau bersatu, kuat dan kukuh.

    Ahli ASEAN BAC Brunei dan Pengerusi Kumpulan Kerja Transformasi Digital, Dayang Haslina binti Taib menyampaikan maklumat perkembangan terkini semasa Mesyuarat JBC ke-21 di mana beliau menyatakan bahawa Kumpulan Kerja Transformasi Digital akan menganjurkan siri perbincangan meja bulat dengan pemain-pemain industri dan pakar-pakar serantau bagi mendapatkan cadangan untuk Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

    Dayang Haslina bersama wakil-wakil delegasi negara anggota ASEAN dan rakan-rakan kongsi ASEAN bergambar ramai pada mesyuarat berkenaan. – Gambar serahan ASEAN BAC Brunei

    Di samping itu, perkembangan projek legasi Brunei, ASEAN Digital Credentials (AKREDI) turut disampaikan semasa mesyuarat berkenaan.

    AKREDI akan mempunyai tiga bidang tumpuan iaitu sebagai dompet data bagi identiti, keupayaan dan mobiliti profesional, membangunkan perkhidmatan digital untuk AKREDI bagi penjejakan, peningkatan kemahiran dan pemadanan tenaga manusia menerusi cadangan portal serantau iaitu ASEAN Digital Talents and Transformation Community ADTX, bekerjasama dengan negara anggota dan badan sektoral ASEAN yang relevan serta pemain-pemain utama sektor swasta.

    Bidang tumpuan ketiga pula adalah untuk menghasilkan sebuah ekosistem bersama bagi mengharmonikan aliran perdagangan dalam Koridor Borneo dengan menghubungkan kolaborasi antara Negara Brunei Darussalam, Kalimantan, Sabah dan Sarawak.

    Ekosistem itu akan memberikan penekanan kepada pengiktirafan hala dan ESG AKREDI seperti termaktub dalam inisiatif Nadi Borneo dan keutamaan Hab Net Zero ASEAN Tahun
    Indonesia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...