Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Delegasi IAEA tiba di loji nuklear Ukraine

    KYIV, 31 OGOS – Konvoi kenderaan yang membawa delegasi nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melintas Ukraine awal hari ini ke arah loji jana kuasa Zaporizhzhia yang dikuasai Rusia, dengan harapan dapat membantu menjamin keselamatan loji itu di tengah-tengah zon perang serta mengelakkan sebarang perbalahan nuklear.

    Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Mariano Grossi mengadakan perjumpaan dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy kelmarin untuk membincangkan misi yang dijangka berlangsung beberapa hari. Terdapat dakwaan daripada pihak berkuasa tempatan bahawa tentera Ukraine membedil wilayah loji itu dan bandar berdekatan Enerhodar pada malam Selasa. Kedua-dua pihak telah menuduh antara satu sama lain mengebom kawasan tersebut.

    “Delegasi PBB akan memasuki zon perang. Kami menuju ke wilayah yang diduduki,” Grossi berkata mengenai misi yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk badan pemerhati nuklear PBB. Grossi berkata delegasi IAEA yang terdiri daripada 14 pakar telah mendapat jaminan daripada Rusia bahawa mereka akan dapat melakukan kunjungan ke loji tersebut.

    Tetapi dalam dakwaan perang dan tuntutan balas yang amat sukar untuk dibuktikan, pentadbiran tempatan di Enerhodar berkata hari ini bahawa tentera Ukraine telah membedil wilayah loji itu dengan 60 serangan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

    Serangan itu termasuk tembakan dron yang memusnahkan bangunan pentadbiran loji, manakala satu lagi dron terkena pusat latihan kilang itu, menurut laporan pentadbiran setempat.

    Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau pelepasan penyebaran radiasi dilaporkan. Ukraine kelmarin telah menuduh Rusia mengebom jalan masuk yang dirancang ke loji itu untuk cuba menukar laluan delegasi IAEA dan bergerak melalui kawasan yang dikuasai Rusia. Jika perjalanan IAEA berjalan lancar, delegasi tersebut dijangka tiba di wilayah Zaporizhzhia, 450 kilometer tenggara ibu kota Ukraine, lewat hari ini. – AP

    Ketua Pengarah IAE, Rafael Mariano Grossi ketika berada di Kyiv, Ukraine, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...