Delegasi Kementerian Pertahanan berlepas ke Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Seramai 10 orang pegawai Kementerian Pertahanan lepasan penerima biasiswa Kementerian Pertahanan berlepas ke Singapura untuk menghadiri 10th Brunei-Singapore Defence Scholars Development Programme (BSDSDP) 2018 – Alumni, hari ini.

Delegasi yang terdiri daripada lima pegawai tentera dan lima pegawai awam berkenaan diketuai oleh Ketua Bahagian Biasiswa, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Dayang Susie Haslinda @ Shazwana Humaira Na’asya binti Abdullah.

Turut hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada delegasi berkenaan ialah Pemangku Pengarah di Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Awang Shahminan bin Haji Tengah.

Program berkenaan akan diadakan selama sembilan hari dengan dua fasa, fasa pertama bermula hari ini hingga 26 Oktober di Singapura dan diikuti dengan fasa kedua pada 26 hingga 30 Oktober depan di negara ini.

Sementara itu, 46 orang pegawai alumni BSDSDP yang lainnya di Negara Brunei Darussalam, yang terdiri daripada 18 pegawai tentera dan 28 pegawai awam hanya akan ikut serta dalam sesi dialog, sesi reflection dan majlis penutup fasa yang akan diadakan pada 29 Oktober di negara ini.

Program tersebut merupakan salah satu inisiatif untuk menyumbang kepada pembangunan peribadi dan profesional para penerima biasiswa Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Bersempena program berkenaan yang diadakan buat kali ke-10 tahun ini, Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan bekerjasama dalam meraikan pencapaian kerjasama di antara kedua-dua buah negara melalui penglibatan alumni peserta Program BSDSDP dengan mengadakan 10th BSDSDP-Alumni.

Awang Shahminan bergambar ramai bersama delegasi Kementerian Pertahanan sebelum berangkat ke Singapura, kelmarin.